Bapa dera anak perempuan disambung reman tiga hari

in Edisi by


KOTA BHARU – Seorang lelaki berusia 31 tahun yang ditahan polis kira-kira tujuh hari lalu kerana mendera anak perempuan sulung sendiri disambung reman selama tiga hari lagi bermula semalam bagi membantu siasatan.


 Perintah reman terhadap buruh binaan itu dikeluarkan oleh Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Kota Bharu, Rosli Ahmad di Bilik Reman yang terletak di bangunan mahkamah berkenaan.


Suspek disambung reman selama tiga hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan berhubung kes dera serta keputusan ujian air kencing yang diuji positif methamphetamine.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, setakat ini siasatan masih diteruskan.  


Kelmarin Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan, Khairunisa, 8, menjadi mangsa dera bapa kandung sendiri selepas memiliki wajah yang seiras dengan rupa ibunya.


Mangsa dikurung sejak sebulan lalu selain suspek tergamak menyeksanya dengan dicucuh api rokok, dipukul dengan batang penyapu, dibelasah dengan penyangkut baju malah dicederakan menggunakan sabit.


Suspek kemudian ditahan pada 19 November lalu sebelum direman selama tujuh hari dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]