Dua penunggang, seorang pembonceng maut nahas

in Edisi Pahang by


RAUB – Dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di Kilometer (KM) 352 dan 351 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, di sini.


Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, jarak lokasi dua kemalangan itu hanya kira-kira satu kilometer.


Menurutnya, dalam kemalangan pertama pada jam 10.35 malam di KM 352, mangsa, Chin Hao Yik, 14, yang menetap di Taman Sungai Klau maut berlanggar dengan sebuah lori.


“Siasatan awal mendapati mangsa yang sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Raub hendak pulang ke rumahnya di Sungai Klau.


“Kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan setakat ini pemandu lori belum membuat laporan polis,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.


Sementara itu Wan Mohd Zahari berkata, dalam kejadian kedua pada jam 1.50 pagi tadi di KM 351, seorang penunggang motosikal, S. Arunraj, 17,  dan pemboncengnya, B. Arivarasan, 17  maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta.


“Siasatan awal mendapati, kemalangan tersebut berlaku apabila motosikal ditunggang oleh mangsa dari arah Kuala Lipis ke Raub secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan iaitu laluan kereta yang dari arah Raub menghala ke Kelantan.


“Akibat daripada itu, pemandu kereta tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal tersebut yang menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.


Dalam pada itu, menurutnya ketiga-tiga mangsa yang maut dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala pemandu kereta terlibat, tidak mengalami kecederaan.


Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]