Gesa kerajaan negeri kemuka status kewangan Maps

in Uncategorized by


IPOH – Pembangkang menggesa kerajaan negeri agar mengemukakan status kewangan Taman Tema Animasi Studio (Maps) sekiranya benar tidak wujud pinjaman sehingga RM1.9 billion sebagaimana yang didakwa sebelum ini.


Adun Canning, Wong Kah Woh mendakwa, carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan Maps telah memfailkan tujuh gadaian pada tahun 2014, sekali gus menyangkal penafian kerajaan negeri mengenai wujudnya hutang berkenaan.


“Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid sebelum ini menafikan Maps tidak mempunyai hutang sebanyak RM1.9 billion, sebaliknya kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk mengemukakan status kewangan terkini taman tema berkenaan.


“Carian SSM yang terbaru menunjukkan Syarikat Animation Theme Park Sdn Bhd mempunyai tujuh gadaian yang kesemuanya difailkan pada tahun 2014 dan masih belum diselesaikan (unsatisfied charge) dengan setiap satunya bernilai RM280 juta,” katanya kepada Sinar Harian.


Dalam pada itu, Kah Woh turut mempertikaikan sikap kerajaan negeri yang dilihat mengambil pendekatan no say dalam sebarang urusan dan keputusan  yang  diambil oleh PCB Development Sdn Bhd terutamanya dalam hal berkaitan pembelian saham Maps.


Katanya, benarkah kerajaan negeri no say dalam sebarang urusan PCB Development Sdn Bhd sedangkan syarikat berkenaan milik sepenuhnya Perak Corporation Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang juga pemegang saham utama Perak Corp dengan jumlah 52.9 peratus.


“Berapakah jumlah sebenar hutang pinjaman sekarang yang ditanggung oleh Maps yang mana PCB Development Sdn Bhd memegang 51 peratus saham?


“Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab kepada Dun mengenai status kewangan terkini Maps dan duit yang telah dibelanjakan khususnya dalam pembelian saham itu,” katanya.


Menurutnya, tidak wajar kerajaan negeri menafikan kenyataan itu sedangkan mereka adalah pemegang amanah kepada kepentingan rakyat.


““Jangan lindungi maklumat daripada ahli dewan.


Wang yang dibelanjakan adalah wang rakyat dan bukan seperti yang dikatakan oleh wakil kerajaan negeri sebagai keputusan komersial syarikat,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]