
BAGAN DATUK – Kerajaan sedang merangka satu mekanisma untuk mewujudkan satu skim gaji khas bagi guru tadika dan pra sekolah sama ada swasta mahupun milik kerajaan di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemberian gaji minimum berkenaan adalah langkah menjadikan profesion pendidikan awal kanak-kanak sebagai satu pekerjaan tetap dan bukan sambilan.
“Saya telah mempengerusikan satu mesyuarat khas Majlis Sosial Negara Jumaat lalu dan dalam mesyuarat berkenaan beberapa cadangan diberikan bagi menyelaraskan sistem pendidikan awal persekolahan melibatkan tadika dan pra sekolah dikendalikan kementerian terlibat serta pihak swasta.
“Ia termasuklah menyelaraskan semua sukatan pelajaran di tadika dan pra sekolah, penyediaan skim gaji atau gaji minimum bagi guru dan kursus jangka pendek bagi semua guru yang mempunyai kelulusan SPM,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Politeknik Bagan Datuk, disini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, guru-guru tadika dan pra sekolah berkelulusan SPM yang tidak mempunyai sebarang sijil mahupun kemahiran Pedagogi perlu mengikuti kursus jangka pendek sebelum mengajar.
“Pada mesyurat berkenaan juga kita telah berbincang agar semua guru lepasan SPM yang mengajar di tadika dan pra sekolah diwajibkan mengikuti kursus jangka pendek sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum dibenarkan mengajar.
“Ia munasabah agar gaji minimum guru tadika dan pra sekolah dapat dipiawaikan serta distandardkan demi masa hadapan golongan pendidik ini,” katanya.
Beliau berkata, langkah tersebut juga bertujuan mewujudkan kebersamaan antara guru pendidikan awal dengan guru-guru di peringkat rendah atau menengah sedia ada.
“Kita juga mahu menjadikan profesion sebagai guru tadika dan pra sekolah sebagai pekerjaan tetap bukan sambilan seperti yang dianggap masyarakat masa ini,” katanya.
Sementara itu, lebih 3,000 penduduk Bagan Datuk hadir menyaksikan majlis pecah tanah Politeknik Bagan Datuk yang melibatkan kos RM220 juta dan dikatakan mampu meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat.
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]