
GOMBAK – Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun hampir diculik di Taman Selaseh Fasa 2, di sini, sewaktu pulang dari sekolah agama Rabu lalu.
Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, mangsa ditarik oleh dua lelaki bermotosikal sewaktu pulang ke rumah di Jalan 15, di sini.
Kejadian tersebut dikongsi ibu saudara mangsa dalam sebuah grup di Facebook sebagai peringatan bersama-sama warga Batu Caves dan Gombak.
Nenek mangsa, Zaharani Kitan, 66, berkata, cucunya pulang lewat kerana meraikan jamuan akhir tahun.
Menurutnya, abang mangsa yang turut pulang dari sekolah berada berhampiran lokasi, menjerit sebaik menyedari adiknya dikasari.
“Mangsa biasa balik sekolah berkumpulan dengan berbasikal tapi bila sampai lorong masuk ke rumah, mereka mulai berpecah pulang ke rumah masing-masing.
“Kebetulan abangnya ada di belakang sewaktu pulang dari sekolah agama, jadi bersyukur sangat dia tak diapa-apakan,” katanya.
Katanya, laporan polis dibuat susulan insiden tersebut dan cucunya masih trauma dengan kejadian.
“Ini kejadian pertama cubaan culik, sebelum ini kes samun dan ragut pernah berlaku.
“Saya selalu duduk luar tunggu cucu pulang sekolah, cuma hari kejadian saya tak keluar sebab kurang sihat,” katanya.
Susulan kejadian itu katanya, dia lebih berhati-hati dan cucunya lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
Source: SH Edisi Sel KL
[featured-video-plus]