Korea Selatan guna algoritma pulih industri kewartawan

in Global by


SEOUL – KOREA SELATAN. Bagi meraih kembali keyakinan masyarakat terhadap kewartawanan serta memulihkan pendapatan sektor itu, Korea Selatan membangunkan sistem pengkomputeran berdasarkan kecerdasan buatan menggunakan algoritma. 


Pensyarah kewartawanan dari Universiti Yongsei di sini, Yoon Young Chul berkata, inisiatif itu dilaksanakan oleh Korea Press Foundation (KPF) yang menubuhkan Jawatankuasa Amanah Berita pada 2016 yang diketuai beliau dengan 15 anggota merangkumi sarjana kewartawanan, wartawan pelbagai bidang, saintis komputer dan pakar pemprosesan bahasa.


Beliau berkata inisiatif itu, yang pertama seumpamanya di dunia, diambil susulan kemunculan media baharu yang menghakis kepercayaan masyarakat terhadap kewartawanan tradisional dan menjejaskan pendapatan industri.


“Ini mewujudkan satu kitaran kejam dalam kewartawanan,”  katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Membangunkan Algoritma Berita bagi Kewartawanan yang Boleh Dipercayai’ pada Persidangan Kewartawanan KPF Korea 2017  yang berlangsung di sini, baru-baru ini.


Persidangan selama dua hari bermula 13 Nov itu disertai oleh 40 wartawan antarabangsa.


Penurunan jumlah pembaca, audiens dan penonton, kegagalan model perniagaan berasaskan pengiklanan, pemberhentian pekerja, menerbitkan berita dengan bilangan pemberita yang sedikit dalam masa yang singkat, hasil kewartawanan yang berkualiti rendah  dan kemerosotan kepercayaan terhadap organisasi media merupakan ciri-ciri kitaran kejam itu.


Yoon berkata amat penting untuk menggunakan algoritma memandangkan keputusan algoritma mempengaruhi orang ramai dalam melihat realiti serta pembentukan pandangan menerusi penapisan berkategori, menentukan keutamaan dan kaitannya.


“Kepelbagaian berita dipengaruhi oleh kepelbagaian algoritma, kita perlukan algoritma yang merupakan  alternatif kepada  logik ‘beri apa yang mereka mahu’,” katanya.          


Beliau juga mencadangkan dalam meraih kepercayaan masyarakat umum, industri kewartawanan harus mengukuhkan kawal selia terhadap platform (media baharu dan media sosial); memanfaatkan sepenuhnya portal menerusi kerjasama dengan mereka; berhenti menyalurkan berita kepada portal dengan mewujudkan platform pengiklanan mereka sendiri; dan beri tumpuan kepada model pelanggan berbayar.


Ketua Pasukan Penyelidik dan Penganalisis KPF Kim We Geun berkata Korea Selatan mempunyai 383 akhbar harian, 15 saluran televisyen dan lebih 100 saluran televisyen kabel serta lebih 6,600 akhbar dalam talian.


Mengulas mengenai langganan berita, Pengarah Institut Reuters Davy Levy memberitahu Bernama kajian yang dijalankan tahun ini di 36 negara menunjukkan secara purata 13 peratus audiens melanggan berita dalam talian.


Berkongsi Laporan Berita Digital 2017, Levy berkata  antara 36 negara terbabit ialah Hong Kong  (21 peratus), Malaysia (20%), Singapura (16%), Amerika Syarikat  (16%), Taiwan (15%), Korea Selatan (12%), Australia (13%), Jepun (11%)  dan United Kingdom (6%).


“Di satu pihak, angka itu tidaklah terlalu tinggi namun dari sudut lain, penyelidikan yang kami lakukan tahun ini mengusulkan idea lama bahawa tidak ada orang yang akan membayar untuk apa-apa pun dalam talian dan golongan muda tidak akan sesekali melanggan berita adalah salah  di sesetengah negara kerana ramai golongan muda melanggan berita berbanding jangkaan kami,” katanya.


Beliau berkata perkara itu mungkin disebabkan golongan muda ini mempunyai pengalaman membayar untuk produk digital lain seperti Netflix untuk filem atau Sportify bagi mendapatkan muzik.


Untuk menggalakkan orang muda melanggan berita, penyedia berita harus menawarkannya dalam bentuk katalog berbanding satu organisasi berita,  selain perlu mewujudkan pengalaman yang mampu bertahan lama berbanding berita sekarang yang mengikut topik dan mempunyai jangka hayat singkat.


“Cabaran sebenar ialah sama ada seseorang boleh memanfaatkan pengalaman golongan muda membeli  benda lain dalam talian untuk turut membayar bagi mendapatkan berita. Ia tidak mudah namun tidak mustahil,” katanya.- Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]