Lapan sekeluarga hidup susah di rumah usang

in Edisi Terengganu by


MARANG – Setiap kali hujan lebat, tujuh beranak yang mendiami sebuah rumah usang di Taman Rahmat di sini, hidup dalam kebimbangan kerana selain atapnya bocor, dinding rumah itu juga reput.


Namun, apa pilihan yang ada buat Norfirdaus Zainol Abidin, 33, dan enam anaknya yang mendiami rumah itu selepas permohonan tinggal di situ diluluskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lapan tahun lalu.


“Nak tak nak kami memang tiada pilihan. Duduk sini sejak 2009. Dinding rumah tak pernah tukar, rumah ini dahulunya kosong. Kami mohon dari JKM dan atap pula bocor sejak setahun lalu,” katanya.


Norfirdaus tinggal bersama enam anaknya iaitu Siti Norhazwani, 14, Siti Nurul Jannah Hanisah, 13, Hanisah Siti Nursakinah, 11, Mohd Fitri Al Hakim, 8, Siti Nur Anismawadah, 5, dan Siti Nur Shoutun Najwa, 2.


Ibu enam anak itu berkata, atap bocor menyebabkan bahagian dapur dipenuhi dengan air hujan manakala dinding rumah yang reput itu memudahkan penceroboh masuk ke dalam rumah mereka.


“Pernah sekali orang masuk ke rumah kami sebelum ini. Kadang-kadang kami tidur pun tak lena kerana bimbang keadaan itu berulang namun hanya ini sahaja tempat tinggal kami sekeluarga,” katanya.


Menurutnya, dia hanya seorang pembantu kedai milik Koperasi Tongkat Putih dengan elaun diterima sebanyak RM400 sebulan dan pendapatan itu tidak mencukupi untuk menampung kos membaiki rumah.


“Mujurlah anak-anak yang masih bersekolah menerima Bantuan Kanak-Kanak dari JKM sebanyak RM450 sebulan sejak April lalu, sekali gus ia dapat menampung keperluan mereka,” katanya.


Ibu malang itu turut memohon sekiranya ada pihak yang prihatin dapat membantu mereka agar kerosakan di rumah itu dapat dibaiki dengan segera memandangkan sekarang adalah musim tengkujuh.


Katanya, keadaan tandas di rumah itu juga perlu dibaiki kerana ia sudah rosak namun dalam masa sama tidak menafikan keperihatinan pihak JKM yang banyak membantu keluarganya.


“Sebab itu, bapa mertua menyarankan saya agar meminta bantuan pihak lain pula seperti NGO termasuk pihak Pusat Giat atau kolej kemahiran lain yang mampu membaikinya secara gotong-royong,” katanya.


Bagi pihak yang bersimpati dan mahu menyumbang kepada keluarga ini juga boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Norfirdaus bernombor 11007-41-00006468-6.


Dalam pada itu, mengikut maklumat diterima daripada pihak Pejabat Penyelaras Dun Rhu Rendang, kebajikan golongan kurang upaya (OKU) yang tinggal di Taman Rahmat tidak pernah dipinggirkan.


Namun dalam situasi Norfirdaus ia agak berbeza kerana keluarga itu normal namun tinggal di penempatan yang dikhaskan kepada OKU, sekali gus membataskannya untuk menerima bantuan seperti diterima golongan itu.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]