Legasi Mugabe berakhir

in Global by


ROBERT Mugabe, lelaki yang sinonim dengan Zimbabwe ini akhirnya meletak jawatan sebagai presiden selepas 37 tahun memegang tampuk pemerintahan di negara itu.


Bagi sesetengah orang, beliau akan dikenang sebagai hero yang membawa kemerdekaan dan menamatkan pemerintahan minoriti kulit putih.


Tetapi, kebanyakan orang melihat Mugabe sebagai pemimpin diktator Afrika yang memusnahkan seluruh negara demi untuk mengekalkan jawatannya selama hampir empat dekad.


Kejatuhan Mugabe yang sebelum ini ‘terselamat’ daripada banyak krisis mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat antarabangsa kerana ia berlaku secara tiba-tiba, seakan dirancang dengan teliti dan tanpa pertumpahan darah.


Dilahirkan sebagai Robert Gabriel Mugabe pada 1942 dan berasal daripada keluarga minoriti kulit hitam yang mendapat peluang pendidikan.


Mugabe memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan pada 1953 melalui kursus gaya pos sebelum berpindah ke Ghana di mana beliau mula menganut fahaman Marxisme.


Daripada seorang guru, Mugabe akhirnya menjadi aktivis dan meringkuk di dalam penjara selama 12 tahun sebelum memainkan peranannya dalam kempen gerila melawan rejim rasis di Rhodesia.


Peperangan menentang kerajaan minoriti kulit putih Rhodesia telah meragut kira-kira 30,000 nyawa, namun perjuangan Mugabe berjaya mencapai matlamat pada 1979 walaupun Rhodesia mendapat sokongan kuat aparteid Afrika Selatan, Israel dan Amerika Syarikat.      


Pemimpin paling lama memerintah di Afrika itu sering dikecam media dan pemimpin Barat terutamanya selepas tindakannya merampas tanah daripada peladang kulit putih.


Sepanjang hampir 40 tahun di bawah pemerintahannya, Zimbabwe pernah terjerumus ke dalam masalah inflasi yang teruk selain berdepan ketidakstabilan politik.   


Campur tangan tentera susulan pemecatan timbalannya, Emmerson Mnangagwa dilihat sebagai cubaan menghalang cita-cita Grace, isteri kepada Mugabe untuk menggantikannya.  


Tetapi, terdapat juga elemen lain di sebalik insiden ‘rampasan kuasa’ itu yang mungkin telah dirancang lebih awal bagi membuka jalan kepada Mnangagwa untuk mengambil alih jawatan presiden.


Petunjuk pertama adalah beberapa hari sebelum itu apabila ketua tentera, Jeneral Constantine Chiwenga memberi amaran terhadap tindakan ‘pembersihan’ di dalam parti ZANU-PF yang menyaksikan Mnangagwa menjadi sasaran Mugabe.  


Beberapa rangkaian berita melaporkan pihak berkuasa merancang untuk menahan Chiwenga sekembalinya beliau dari menyertai mesyuarat tentera di China.


Rancangan itu bagaimanapun dapat dihidu lebih awal dan Chiwenga dilindungi anggota tenteranya sejurus beliau tiba di lapangan terbang.


Tentera kemudiannya melancarkan pengambilalihan kuasa demi untuk melindungi kepentingan mereka sendiri dan turut meletakkan Mugabe di bawah tahanan rumah di Harare pada 14 November lalu selain melancarkan operasi menyasarkan ‘penjenayah’ dalam lingkungan beliau.


Sehingga Isnin lalu, Mugabe masih tiada niat untuk bersara walaupun berdepan desakan banyak pihak, namun pendirian pemimpin yang mempunyai aura tersendiri itu berubah secara tiba-tiba sebelum Parlimen menjalankan proses untuk memecatnya.


Keputusan mengejut itu yang dicapai melalui satu kesepakatan itu turut memberi beliau kekebalan daripada sebarang pendakwaan selain jaminan perlindungan keselamatan kerana Mugabe tidak berhasrat untuk meninggalkan Harare.


Banyak pihak melihat kejatuhan beliau berpunca daripada kelantangan isterinya ‘menyerang’ Mnangagwa dan mengecam campur tangan tentera dalam parti politik di negara itu.


Persoalan yang timbul kini adalah adakah Mnangagwa yang mengangkat sumpah sebagai presiden baharu Zimbabwe dapat membina semula ekonomi dan menyediakan peluang ‘kerja,kerja,kerja’ seperti yang dijanjikannya?   


Seorang lagi diktator?


Kebanyakan rakyat Zimbabwe bersorak gembira dengan kejatuhan Mugabe tanpa mereka sedar penggantinya, Mnangagwa juga mungkin mempunyai reputasi sama dengan beliau walaupun presiden baharu itu berikrar untuk membasmi kemiskinan dan memerangi rasuah.


Bekas sekutu rapat Mugabe itu menabur janji untuk membuka lembaran baharu di negara tersebut.


“Ia adalah satu kelegaan yang besar, namun kita tidak perlu terlalu teruja dengan pemimpin baharu tersebut. Rakyat tidak patut lupa apa yang pernah dia lakukan sebelum ini,” kata pekerja bank, Patrick Moyo, 38.


Mnangagwa pernah terlibat dengan insiden kekejaman ketika di bawah era pemerintahan Mugabe.


Selepas kemerdekaan 1980, Mnangagwa yang memegang jawatan menteri keselamatan mengarahkan pembunuhan ‘Gukurahundi’ menyasarkan penentang di wilayah Matabeleland dan Midlands.   


Dianggarkan 20,000 terbunuh dan insiden tersebut yang telah meninggalkan kesan parut sangat mendalam kepada negara itu.    


Pada pilihan raya 2008, Mnangagwa juga dilihat sebagai dalang yang merancang gelombang keganasan dan penindasan yang memaksa pembangkang menarik diri daripada bertanding selepas Mugabe dijangka mungkin tewas dalam pemilihan tersebut.


“Ia adalah pertukaran pemimpin dalam sistem autoritarian sama di bawah parti ZANU-PF yang disokong tentera. Tidak mungkin berlaku perubahan kerana Mnangagwa adalah komrad Mugabe. Dia mungkin akan meneruskan legasi pendahulunya,” kata Pengarah Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia selatan Afrika, Dewa Mavhinga.


Pensyarah politik di Universiti Wits di Johannesburg, Anthoni van Nieuwkerk pula melihat Mnangagwa sebagai ahli politik lama yang mempunyai sokongan kuat tentera serta parti pemerintah.     


Beliau turut dikaitkan dengan kegiatan perlombongan emas dan berlian haram yang telah membantu membiayai rejim ZANU-PF serta menjadikannya kaya-raya.


“Kita memerlukan pemulihan secara menyeluruh bukan hanya menyingkirkan Mugabe tetapi elemen ZANU-PF masih memegang kuasa. Saya masih ragu-ragu dengan perubahan selepas ini. Kita tidak mahu menggantikan diktator dengan seorang lagi diktator,” kata penduduk di ibu negara, Oscar Muponda.  


Sebelum ini, Mnangagwa pernah menjadi sasaran sekatan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU), namun beliau tidak lagi disenaraihitamkan.


Walaupun rekodnya agak buruk, banyak pihak berharap beliau dapat membawa pertumbuhan ekonomi yang pesat dan membuat pelan untuk penglibatan semula Zimbabwe dengan komuniti antarabangsa.   


Fokus utama adalah krisis kewangan yang menghimpit negara itu termasuk kadar pengangguran yang dianggarkan mencecah lebih 90 peratus.


Ramai berpendapat Mnangagwa wajar mengatasi masalah itu terlebih dahulu.


Source: SH Global

[featured-video-plus]