Parti komponen BN perlu kerja lebih kerja keras

in Politik by


KUALA LUMPUR – “Parti komponen BN perlu mendekati pengundi kali pertama dalam kalangan golongan muda yang akan menentukan keputusan PRU 14,” kata Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Beliau berkata, kebanyakan pengundi baharu dilihat masih belum mempunyai komitmen kepada mana-mana parti politik.


“Kita selaku Pemuda BN perlu memainkan peranan masing-masing mendekati secara bersemuka dan memahami harapan serta kebimbangan mereka tentang peningkatan kos sara hidup, inflasi dan sebagainya.


“Pada pandangan saya mereka belum berkeputusan menyokong, tiada kesetiaan terhadap mana-mana parti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda myPPP di Wisma Felcra, semalam.


Turut hadir Ketua Pemuda myPPP, Sathiah Sudakaran; Naib Presiden Kanan myPPP, Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz serta barisan kepimpinan Pemuda myPPP.


Beliau juga mahu Pemuda BN bekerja keras dan memastikan rakyat tidak sewenang-wenangnya terpedaya dengan janji pembangkang yang bersifat populis.


“PRU kali ini sangat kritikal dan mencabar untuk BN mempertahankan rekod kemenangan demi masa depan dan saya yakin rakyat dapat memberi mandat dengan mempertimbangkan rekod pencapaian BN selama ini,” katanya.


Sementara itu, Sathiah berharap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempertimbangkan Presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas sebagai calon bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14.


Dalam ucapan dasar pada perhimpunan itu, beliau menzahirkan keyakinan bahawa Kayveas akan membantu dalam pembangunan negara. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]