Pegang kemaluan remaja, lelaki dijel 7 tahun

in Semasa by


KUALA TERENGGANU – Perbuatan keterlaluan seorang pemuda memegang kemaluan seorang remaja lelaki di sebuah pasar raya di Kuala Nerus membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.


Keputusan dibuat selepas tertuduh, Mohd Mazlan Tambrin, 20, dari Pulau Pinang, mengaku bersalah mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 .


Tertuduh mengaku melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun enam bulan dengan memegang kemaluan mangsa di dalam tandas sebuah pasar raya di Kuala Nerus, kira-kira jam 8.20 malam, pada 27 Ogos lalu.


Dengan itu, tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan bolehdikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Marsilawati Mohamad Shah di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.


Berdasarkan fakta kes, pada 27 Ogos lalu, kira-kira jam 8.20 malam, mangsa berada di sebuah pasar raya di Kuala Nerus, sebelum terserempak dengan seorang lelaki tidak dikenali (tertuduh).


Tertuduh memandang mangsa sehingga mengundang rasa tidak selesa remaja itu sebelum dia mengambil keputusan beredar dari lokasi dan pergi mencari ibunya.


Bagaimanapun, mangsa sekali lagi terserempak dengan tertuduh sebelum diajak berbual dan selepas itu tertuduh mengajak mangsa ke tandas.


Semasa di dalam tandas itu, tertuduh melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa dan mengugutnya supaya tidak memberitahu kepada sesiapa berkaitan perbuatannya itu sebelum meminta nombor telefon mangsa supaya boleh berhubung.


Mangsa yang tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian mengadu kepada ibu bapanya sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus.

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]