Pemaju pembangunan PA diberi tempoh sehingga Januari

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan memberi tempoh sehingga Januari tahun depan kepada pemaju projek pembangunan semula empat Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur untuk memulakan kerja tapak dengan kadar segera.


Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau kesal kerana rundingan tawaran projek pembangunan tersebut antara pemaju berkenaan dan kerajaan telah dibuat kira-kira lima tahun lalu namun tiada sebarang kerja tapak dilakukan sehingga kini.


“Kita mahu laksanakan projek itu dengan cepat kerana mahu beri keselesaan kepada penghuni PA memandangkan saiz rumah yang kecil itu tidak lagi sesuai untuk didiami.


“Oleh itu, kita akan bertemu dengan pemaju tersebut dan beri tempoh sehingga Januari 2018 untuk mereka memulakan kerja. Jika tidak, kita akan tarik balik (tawaran) dan beri kepada pemaju yang lebih layak,” tegasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program 1Malaysia Negaraku peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di PA Sri Johor, di sini hari ini.


Beliau berkata projek pembangunan semula empat PA iaitu PA Taman Ikan Emas, PA Sri Johor, PA Sri Melaka dan PA Sri Pulau Pinang itu yang ketika ini hanya bersaiz 450 kaki persegi seunit akan dibina dengan saiz yang lebih luas iaitu 850 kaki persegi.


Tengku Adnan berkata sebanyak 5,600 unit baharu akan dibina di kesemua PA berkenaan dengan harga jualan hanya RM28,000 setiap unit.


“Harga unit yang ditawarkan ini begitu rendah berbanding harga pasaran iaitu RM450,000 dan tawaran ini dibuka kepada semua penyewa empat PA ini,” katanya.


Beliau berkata projek pembangunan berkenaan dijangka mengambil masa sehingga enam tahun untuk disiapkan sepenuhnya dan akan memberi manfaat kepada penghuni untuk mendiami rumah yang lebih selesa.


Program 1Malaysia Negaraku anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Jabatan Penerangan Malaysia yang diadakan selama tiga hari dan berakhir hari ini itu bertujuan merapatkan hubungan antara rakyat dan pihak kerajaan melalui pelbagai aktiviti dan perkhidmatan yang disediakan.


“Lebih 10 gerai pameran dan perkhidmatan oleh agensi kerajaan dan swasta dibuka di sini bagi membantu rakyat di Parlimen Bandar Tun Razak ini secara terus dan mereka  juga boleh mendapatkan khidmat nasihat mengenai program dan produk kerajaan secara terus dan jelas,” katanya.


Antara aktiviti lain yang turut disediakan termasuklah kenduri rakyat, majlis khatan perdana, ceramah perdana serta sumbangan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]