Penyakit tidak berjangkit dijangka terus meningkat

in Nasional by


GEORGE TOWN – Penyakit tidak berjangkit atau ‘non-communicable disease’ (NCD) yang menyumbang 73 peratus kematian di negara ini pada tahun lepas dijangka terus meningkat pada tahun ini berdasarkan gaya hidup rakyat terutamanya golongan muda.


Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata golongan muda seawal usia 30-an telah mula dijangkiti NCD seperti kencing manis, strok, kanser serta hipertensi dan situasi itu adalah membimbangkan.


Beliau berkata kajian mendapati hipertensi atau tekanan melampau semakin meningkat dalam kalangan penduduk di luar bandar dengan lebih 17 peratus daripada mereka tidak menyedari penyakit berkenaan.


“Perlu diingatkan bahawa hipertensi juga boleh menyebabkan kematian apabila seseorang itu mengalami strok atau pendarahan dalam kepala yang hanya dapat dikesan pada saat akhir.


“Situasi itu pernah berlaku pada seorang pesakit berusia 39 tahun, apabila kita semak gaya hidupnya, pagi dan tengah hari dia sering makan nasi kandar, selalu minum teh tarik dan menghisap rokok selain tidak menjalankan saringan kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Nak Sihat ‘Bersama Komuniti Kekal Sihat’ 2017, di sini hari ini.


Dr Hilmi berkata kaji selidik Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) pada 2015 mendapati sekurang-kurangya 17.5 peratus penduduk berusia 18 tahun ke atas di negara ini mempunyai penyakit diabetes dan 9.2 peratus tidak tahu sedang menghidapi penyakit berkenaan, selain 30.5 peratus penduduk mengalami hipertensi.


Beliau berkata pihaknya juga mendapati kadar prevalens amat tinggi dalam kalangan rakyat negara ini bagi penyakit peningkatan paras kolesterol dalam darah  atau ‘hypercholesterolemia’ iaitu 47.7 peratus dengan menunjukkan peningkatan pesakit berusia antara 18 hingga 19 tahun.


“Rakyat di semua peringkat usia perlu terus melakukan riadah secara berkala selain mengamalkan pengambilan makanan seimbang  serta perlu amalkan budaya hidup sihat,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]