Real Chukai FC julang Piala TAL 2017

in Sukan by


PENDATANG baharu, Real Chukai FC melakarkan kejutan menjulang Piala Liga Amatur Terengganu (TAL) 2017  selepas bangkit melakarkan kemenangan 3-2 ke atas Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) –Lanjerket di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.


Pada aksi pentas final itu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang dengan saling berbalas serangan ke gawang gol masing-masing.


Begitupun kem Real Chukai terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan percuma yang dilakukan dengan kemas,Tuan Afif Nasrullah Tuan Hazahar pada minit ke-18 untuk berada di depan.


Jaringan itu nyata tidak melemahkan semangat pasukan PBSMT- Lanjerket apabila bangkit menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-34 hasil jaringan Mohd Khairul Nizam  Abdul Wahab, sebelum Mohd Jamali  Mohamad Nor menjaringkan gol kedua skuad kendalian Mohd Alif Hafifi Mohamad pada minit ke-50.


Penghujung perlawanan, Mohd Syahzwan Fitri Ibrahim berjaya mengheret permainan ke masa tambahan apabila menjaringkan gol penyamaan Real Chukai FC pada minit ke-90 sebelum  kapten pasukan Mohd Khairuzi Zamli muncul wira pasukan untuk mengesahkan kemenangan mutlak mereka  pada minit ke-105 selepas meledakan gol ketiga.


Selaku juara, pasukan berpengkalan di Kemaman itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 medal dan piala pusingan, manakala naib juara PBSMT Lanjerket meraih RM6,000 beserta medal.


Lebih manis, pemain Real Chukai FC, Mohamad Zawawi Mat Arif turut dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan pentas final  dengan menerima plak daripada Thirstymilk.


Tempat ketiga bersama dimenangi oleh Pikat FA dan Markless Kebilal ST dengan masing-masing menerima RM2,000 beserta medal yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah MSNT, Mohd Sabri Abas.


Sementara itu, pengendali Real Chukai FC, Mohd Nasuha Abdullah mengakui bangga dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan itu dan menyifatkan semangat juang tinggi  pemain menjadi kunci kejayaan mereka.


Kejayaan Real Chukai FC meraih gelaran juara Piala TAL turut membolehkan pasukan itu membuat penampilan untuk berentap menentang juara dari Liga Juara Selangor yang dijadualkan berlangsung pada 9 Disember depan di Stadium Shah Alam.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]