Remaja nyaris maut ditimpa pokok

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seorang remaja berusia 14 tahun nyaris maut ditimpa pokok yang tiba-tiba tumbang kira-kira jam 11 pagi tadi ketika membantu ibunya berniaga kedai makan.


Mangsa, Nor Shazrina Fauzi, 14, sedang berada di bahagian dapur kedai makan untuk membancuh air sebelum tiba-tiba mendengar ibunya, Suhaibah Rashid, 42 menjerit meminta dia segera melarikan diri.


“Kejadian berlaku begitu pantas, ketika itu saya berada di bahagian dapur kedai, angin agak kuat berserta hujan. Mujurlah saya dapat dengar suara mak saya menjerit menyuruh saya lari keluar dari kedai,” katanya.


Sementara itu, ibu mangsa yang juga pengusaha Kedai Makan Cek Bah, Suhaibah berkata, dia bersyukur kerana kejadian yang berlaku itu tidak meragut nyawa anaknya termasuk tiga pekerjanya dan tiga pelanggan.


Katanya, dia masih trauma dengan kejadian itu kerana pokok itu nampak kukuh dan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk tumbang sejak dia berniaga di situ tujuh bulan lalu.


“Sebelum kejadian, saya ada dengar bunyi pelik. Prak…prak…prakkk.. Sekelip mata pokok tu tumbang, mujur anak saya sempat melarikan diri.


“Tak sangka pula pokok yang berfungsi untuk menjadi tempat berteduh di kedai makan ini sejak sekian lama akan tumbang dan patah pada bahagian pangkal,” katanya.


Sementara itu, pemilik premis itu, Rosmawati Embong, 43, berkata, sebelum ini dia pernah terfikir untuk membuat aduan pada Majlis Bandar raya Kuala Terengganu (MBKT) supaya memotong pokok itu namun tidak sempat berbuat demikian.


“Sebelum ini ada terfikir nak minta pihak bandar raya potong sahaja pokok ini kerana nampak semakin tua, tak sangka pula pokok ini tumbang kerana sejak tujuh tahun saya penyewa tapak di sini, tidak pernah dahan pokok runtuh.


“Saya ingat ia mampu bertahan, tak sangka pula akan tumbang,” katanya.


Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kerosakan teruk pada sebahagian besar premis berkeluasan lebih 20 kaki itu dengan kerugian kira-kira RM20,000.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]