Reman Pengurus Projek PPK disambung

in Semasa by


BANDARAYA MELAKA – Tahanan reman ke atas seorang pengurus projek Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bernilai kira-kira RM2.54 juta dilanjutkan lima hari lagi hingga 1 Disember depan.


Perintah lanjutan tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Lee Kim Keat, hari ini.


Suspek, lelaki berusia 38 tahun itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, kira-kira 10 pagi dan dilihat keluar dari mahkamah setengah jam kemudian, dengan berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga.


Pada 20 November lalu, suspek yang bertugas di PPK Merlimau, ditahan di Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri, Jalan Hang Tuah dan ditahan reman enam hari sejak 21 November lalu.


Penahanan reman itu dibuat bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas suspek mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Penahanan itu dibuat selepas suspek dipercayai membuat 23 tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM2.54 juta melibatkan sejumlah 56,700 kampit baja sepanjang tahun lalu yang tidak pernah diluluskan oleh Mesyuarat Penapis PPK tersebut.


Daripada jumlah tuntutan itu, kerajaan  membayar kira-kira RM1.33 juta manakala selebihnya belum dibayar.


Kesemua baja-baja itu sepatutnya dituntut oleh PPK berkenaan bagi pihak petani di sektor penanaman padi yang menyertai SBPKP serta diagihkan kepada mereka.


Suspek bagaimanapun dipercayai menjual semula baja-baja tersebut bagi mendapatkan keuntungan peribadi.


Setakat ini, empat suspek berusia antara 38 hingga 50 tahun di tahan SPRM bagi membantu siasatan termasuk pengurus projek ladang berkenaan.


 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]