
SHAH ALAM – Selepas 24 jam berlangsung, sambutan pengunjung ke pesta buku Negara Buku Mega 2017 amat luar biasa.
Pengarah Projek, Zulhilmi Daud berkata, waktu operasi yang fleksibel bukan sahaja memberi kemudahan kepada pengunjung, tetapi menjadi tarikan baharu dalam pemasaran buku.
“Bayangkan waktu lewat malam, antara jam 11 hingga 1 pagi, pengunjung masih tidak putus-putus, bahkan seawal jam 8 pagi, sudah ramai berkerumun,” katanya, semalam.
Menurutnya, kelompok pengunjung paling ramai terdiri daripada golongan wanita, diikuti remaja dan ada yang berkeluarga.
“Sambutan di luar jangkaan. Siapa sangka ada peminat novel, komik dan majalah boleh meluangkan masa pada waktu sebegini semata-mata untuk beli buku,” katanya.
Zulhilmi berkata, melihat kepada sambutan yang diterima, projek itu akan dipertimbangkan untuk dijadikan acara rutin, sekurang-kurangnya dianjurkan sekali dalam setahun.
“Sambutan ini beri gambaran bahawa projek ini boleh pergi lebih jauh, ditambah pula sokongan pelbagai penerbit, secara tidak langsung inilah medan tumpuan kepada pencinta novel dan bahan bacaan,” katanya.
Selain itu katanya, gabungan penerbit baharu, lama, indi dan bebas menjadikan ruang untuk industri penerbitan bahan bacaan semakin diterima.
Mengulas lanjut, Pengarah Urusan PTS Media Group Sdn Bhd, Arief Hakim Sani Rahmat berkata, projek seumpama itu berjaya mengembalikan semula kegemilangan orang ramai membeli buku.
“Dua hari berlangsung, hasilnya membanggakan. Ia menjadi sinar baru kepada kami dalam kalangan penerbit bahawa industri penerbitan berasaskan bahan bacaan masih relevan,” katanya.
Menurutnya, meskipun berdepan nilai ringgit dan ekonomi tidak stabil, kesedaran masyarakat berbelanja terhadap bahan bacaan semakin bertambah baik.
“Ia jelas ditunjukkan, apabila berlakunya peningkatan dalam penjualan buku untuk pendidikan, masyarakat tetap menyokong, selain kuasa beli terhadap genre lain seperti novel, buku indi dan lain-lain.
“Inisiatif dibuat oleh Negara Buku juga wajar mendapat pujian kerana lain daripada yang lain,” katanya.
Negara Buku Mega 2017 berlangsung di Studio F Kumpulan Media Karangkraf, bermula jam 9 pagi pada Jumaat lalu, dan berakhir 9 malam ini.
Ia dibuka selama 60 jam tanpa henti dan semua bahan bacaan ditawarkan pada harga serendah RM10.
Buat julung kalinya juga, ia dijayakan hasil gabungan 50 penerbit bahan bacaan tempatan. Kira-kira 100,000 buah buku tersedia untuk dijual dalam tempoh tersebut.
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]