
REMBAU – Sistem ‘Big Data Negeri Sembilan’ yang diwujudkan kerajaan negeri bagi mengumpul data penerima bantuan daripada setiap jabatan dan agensi kerajaan, bertujuan memastikan pengagihan bantuan dapat dilaksanakan secara telus.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sistem itu juga bagi memastikan tidak berlaku pengagihan bantuan berulang kepada rakyat di negeri berkenaan.
“Kita tidak mahu ada orang dapat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300, dapat pula bantuan baitul mal RM350, bantuan kemiskinan bandar RM400 orang yang sama sahaja, jadi orang lain yang patut dapat tidak dapat pula… kita tidak mahu itu berlaku.
“Kita mahu membantu seramai mungkin mereka yang benar-benar layak menerima bantuan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Kelengkapan Persekolahan Bersempena Program Komuniti Plus ‘Kembali ke Sekolah 2018’ di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Umno Bahagian Rembau Datuk Azman Hassan dan Pengurus Perniagaan Wilayah Selatan Plus Malaysia Berhad Mohd Kassim Ismail.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata pengagihan bantuan yang tidak diuruskan dengan baik akan mengakibatkan keadaan menjadi tidak terurus dan akhirnya masyarakat akan menuding jari kepada kerajaan apabila berlaku pengagihan bantuan yang tidak adil.
“Sepatutnya orang menghargai tetapi akhirnya orang akan membenci kita atau orang menuding jari kepada kerajaan tidak reti buat kerja, orang yang sama dapat dua hingga tiga bantuan, tetapi ada seorang lagi yang minta hampir lima hingga enam tahun tidak dapat.
“Jadi ini akan menimbulkan keresahan dan menimbulkan perasaan yang tidak senang hati orang ramai terhadap kerajaan,” katanya.
Terdahulu, pada program itu Mohamad menyampaikan bantuan kelengkapan persekolahan berupa dua pasang pakaian seragam sekolah, beg, kasut dan alat tulis kepada kira-kira 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri Rantau yang di sumbangkan oleh Plus Malaysia Berhad. – Bernama
Source: SH Edisi Melaka NS
[featured-video-plus]