SPP, MPPP bantu tubuh Suruhanjaya Pendidikan

in Nasional by


PADANG TERAP – Pemerkasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) dan Majlis Perkhidmatan Penasihat Pendidikan (MPPP) dapat bantu memenuhi cadangan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan bagi memantapkan aspek pendidikan.


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya melihat cadangan tersebut sebagai sesuatu yang baik namun peranan dan fungsi kedua-dua badan itu harus diperincikan dan dilihat semula terlebih dahulu.


“SPP yang fungsinya terhad kepada perkhidmatan perguruan seperti temuduga, lantikan dan pengesahan guru mungkin boleh dirombak dan diperkemaskan semula supaya ia menjadi ‘regulator’ dalam pelaksanaan dasar pendidikan.


“Saya juga ingin nyatakan mengenai MPPP yang diwujudkan sebagai penasihat kepada dasar pendidikan negara. Majlis penasihat ini boleh dikaji semula peranannya dengan diberi mandat yang lebih luas selain menasihati pelaksanaan dasar pendidikan negara,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Bawah 10 tahun Piala Menteri Pendidikan Malaysia 2017 di Sekolah Kebangsaan Padang Terap di sini hari ini.


Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)  Zambri Mohd Isa semalam mencadangkan penubuhan suruhanjaya itu bagi memandu sistem pendidikan negara agar sentiasa konsisten dan berada pada landasan yang tepat.


Ia juga untuk memastikan dasar pendidikan tidak berubah setiap kali menterinya bertukar.


Cadangan itu dipersetujui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  yang menurutnya bertujuan memastikan pemerkasaan dan kesinambungan pelaksanaan dasar pendidikan negara.


Dalam pada itu Mahdzir berkata Ketua Pengarah Pelajaran akan mengeluarkan surat pekeliling khas kepada Pengarah Pendidikan Negeri esok untuk meminta mereka mengedarkannya kepada semua Pejabat Pelajaran Daerah dan guru besar bagi melaksanakan arahan termaktub dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI).


Ia berhubung kehadiran guru semasa cuti persekolahan. Guru hanya perlu hadir ke sekolah ketika cuti tersebut jika ia melibatkan tugasan rasmi seperti kursus, mengawas peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia dan bukan bertugas menjaga pejabat sekolah secara bergilir-gilir.


Beliau turut mengumumkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang Kedua yang sepatutnya dimulakan bulan ini akan ditangguhkan ke tahun hadapan disebabkan beberapa perkara teknikal,


“Perincian mengenai penangguhan ini akan dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran dalam masa terdekat,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]