Tebing runtuh, pekerja kontrak maut tertimbus

in Edisi Pahang by


MUADZAM SHAH – Seorang pekerja kontrak maut  ditimbus tanah runtuh di tapak projek biogas di Kilang Sawit Keratong 2, di sini semalam.


Ketika kejadian pada kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Nordan Wahid, 39,yang berasal dari Bera bersama dua rakan sekerja termasuk seorang pemandu jengkaut sedang melakukan kerja mengorek tanah bagi membina laluan longkang untuk kerja pemasangan paip ‘overflow’.


Difahamkan, lubang yang dikorek untuk pemasangan paip saluran air kolam biogas itu dianggarkan sedalam kira-kira 4.3 meter.


Bagaimanapun, ketika kerja pemasangan paip dilakukan selepas lubang dikorek, tiba-tiba tanah tepi tebing longkang runtuh dan menimpanya, manakala rakannya sempat melarikan diri.


Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Rompin, Mohd Normi Mat Noh berkata, terkejut dengan kejadian itu rakan mangsa segera menghubungi pihaknya dan agensi lain.


Menurutnya, 37 termasuk pegawai dan anggota APM, polis dan pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Muadzam Shah segera ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa.


Katanya, berdasarkan maklumat rakan sekerja mangsa, jengkaut digunakan untuk menggali tanah yang runtuh mengikut tahap kedalaman terakhir mangsa dipercayai berada.


“Dalam tiga jam lebih kami dah memulakan operasi mencari dalam keadaan cuaca ketika itu hujan renyai-renyai.


“Pada peringkat awal jengkaut digunakan bagi menggali tanah runtuh itu sebelum pasukan penyelamat menggali secara manual kerana bimbang terkena pada mangsa, sekitar jam 9.27 malam mangsa berjaya ditemui,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Mohd Normi berkata, pihak polis yang berada di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.


“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari tamat sepenuhnya pada jam 10 malam tadi,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]