Banjir: Kawasan terlibat dijangka bertambah

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Beberapa kawasan lagi diramal akan dinaiki air melibatkan daerah Setiu, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus pada 29 November ini.


Situasi itu dijangka berlaku berdasarkan kenyataan amaran banjir yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran pada jam 12 tengah hari tadi.


Menurut kenyataan itu, amaran yang dikeluarkan adalah berdasarkan kepada ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini.


“Susulan amaran cuaca buruk oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, banjir diramal berlaku pada 29 November 2017 mulai jam 6 pagi di beberapa lokasi.


“Bagi negeri Terengganu, banjir dijangka berlaku akibat kenaikan paras air di Sungai Terengganu, Sungai Nerus dan Berang,” menurut kenyataan berkenaan.


Kenaikan air di Sungai Nerus juga dijangka mengakibatkan tujuh perkampungan di daerah Setiu akan dinaiki air seperti Kampung Pengkalan Merbau, Kampung Sungai Tong, Kampung Bukit Nenas 2, Kampung Alor Lik, Kampung Banggol Setar, Kampung Pak Ba, Kampung Sungai Nas dan kawasan sekitarnya.


Sementara itu, kenaikan paras air di Sungai Terengganu dan Berang dijangka mengakibatkan banjir di sembilan buah kampung di daerah Hulu Terengganu melibatkan Kampung Kepah, Kampung Mesah, Kampung Nasi Dingin, Kampung Telaga, Kampung Kuala Berang, Kampung Felera Pasir Pelata, Kampung Menerong, Kampung Padang Setar dan kawasan sekitarnya.


Manakala, kenaikan paras air Sungai Nerus di daerah Kuala Terengganu dijangka akan melibatkan banjir di empat buah kampung antaranya Kampung Padang Air, Kampung Tok Jiring, Kampung Tanjung Bunut, Kampung Teluk Pasu dan kawasan sekitarnya.


Orang ramai terutama penduduk di kawasan rendah juga diminta berwaspada dan sentiasa berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Banjir yang berhampiran.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]