Bayar saman di kiosk atau secara online

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Warganegara Singapura yang mempunyai saman trafik tertunggak boleh membuat semakan dan pembayaran saman di 900 kiosk yang telah disediakan di negara tersebut selain boleh melakukannya secara dalam talian.


Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata setakat ini sebanyak 37,506 saman tertunggak membabitkan warga Singapura iaitu mencatatkan jumlah saman kenderaan asing tertinggi selepas Thailand, Brunei dan Indonesia sejak 2014.


“Pembayaran saman trafik boleh dibuat di 900 kiosk yang telah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sediakan di Singapura selain mereka boleh membuat bayaran secara online.


“Tidak ada alasan tiada kemudahan atau tempat untuk membuat pembayaran saman di Singapura, termasuk tidak ada keperluan untuk PDRM membuka kaunter khas di Kedutaan Malaysia di Singapura atau negara sempadan lain setakat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.


Menurutnya selain itu pengguna kenderaan dari negara jiran itu juga boleh membayar saman trafik di beberapa lokasi di Johor seperti di Johor Premium Outlets selain di pusat rehat dan rawat (R&R} Gelang Patah.


Beliau berkata menerusi Op Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA)  yang dijalankan sejak 2014, ia merekodkan sebanyak 61,057 saman tertunggak membabitkan warga asing atas pelbagai kesalahan daripada jumlah keseluruhan 81,708 saman yang dikeluarkan.


“Daripada jumlah itu hampir 60 peratus adalah saman melibatkan pengguna jalan raya dari Singapura  dan kesalahan terbanyak melibatkan kes memandu lebih had laju,” katanya.


Ditanya adakah pihak PDRM berkuasa untuk menyekat kemasukan kenderaan dan warga asing yang masih gagal membayar saman trafik beliau berkata PDRM tidak ada kuasa untuk melakukan perkara tersebut. 


Sharul berkata OSTWA menggunakan dua peranti khas yang dikenali ‘Mobile Compound Online Payment System’ (MCOPS) dan kamera ‘Intelligent Compound Online Payment System’ (ICOPS) untuk menyemak dan mengesan saman tertunggak warga asing secara automatik. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]