
LEKIR – Seorang peniaga air tebu hanya terlantar di katil sejak terlibat kemalangan jalan raya, Februari lalu.
Samsuri Johari, 47, yang dahulunya menjadi tempat keluarganya bergantung kini lumpuh separuh badan akibat kejadian.
Isterinya, Rosnita Zulkifli, 39, terpaksa mengambil alih tugas menyara keluarga dan anak perempuan mereka yang berusia lima tahun.
Rosnita berkata, dia tidak boleh bekerja sepenuh masa kerana perlu memberi perhatian penuh kepada suami yang tidak mampu bergerak.
“Saya ambil upah mencuci rumah orang saja sebab memerlukan saya tinggalkan suami dua atau tiga jam saja.
“Sekarang kami bergantung kepada adik perempuan saya untuk bayar sewa rumah sebanyak RM250 sebulan dan keperluan makan dan minum kami,” katanya yang tinggal di Batu 12 Lekir, di sini.
Katanya, suaminya ada mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun wang tersebut dihabiskan untuk membeli lampin pakai buang.
“Kami ada dapat bantuan katil dari Baitulmal untuk keselesaan suami, yang lain kami terpaksa bergantung kepada ahli keluarga.
“Suami saya dah tak mampu buat apa-apa sejak lumpuh separuh badan selain tempurung kepala pecah dan terpaksa dibuang,” katanya.
Menurutnya, suaminya akan dibedah untuk memasukkan tempurung kepala pada Februari tahun hadapan.

“Kami juga kena buat rawatan susulan di Hospital Tuanku Permaisuri Bainun, Ipoh, setiap tiga bulan sekali,” katanya.
Rosnita berharap, ada pihak sudi membantu bagi mendapat bekalan lampin pakai buang untuk suaminya.
Tambahnya, dia juga sedia menerima tawaran kerja yang tidak memerlukannya meninggalkan suami sendirian.
“Kalau ada orang cari orang yang boleh kerja dari rumah, saya boleh buat asalkan tak tinggalkan suami terlalu lama di rumah,” katanya.
Samsuri menerima kunjungan Skuad Sayang Wanita Umno Bahagian Lumut yang diketuai Pengerusi Skuad Sayang Wanita Umno Bahagian Lumut, Azizah Abd Rahim di rumahnya semalam.
Azizah berkata, pihaknya akan melihat keperluan keluarga itu supaya dapat disalurkan bantuan sepatutnya.
“Kita akan merujuk perkara ini kepada pihak berkaitan supaya masalah mereka boleh dibantu,
“Selain itu kami akan membuat susulan dengan Ketua Cawangan Umno dan Ketua Kampung kawasan ini agar nasib keluarga ini terbela,” katanya.
Source: SH Edisi
[featured-video-plus]