
MACHANG – Hujan lebat berterusan sejak awal pagi semalam menyebabkan beberapa kampung terletak di kawasan rendah di sini, mula dinaiki air sejak tengah hari semalam.
Rata-rata penduduk terlibat tinggal berdekatan sungai dan mengatakan air naik mendadak.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kampung termasuk Kampung Dewan Besar dan Kuala Merabang, dekat Labok semalam, mendapati penduduk siap untuk berpindah apabila mengemaskan semua barang-barang di rumah masing-masing.
Penduduk Kampung Dewan Besar, Basir Mat Yasir, 53 berkata, dia mula mengemaskan barang-barang kelengkapan rumahnya sejak semalam apabila hujan turun berterusan.
Katanya, sekalipun air akan surut cepat apabila hujan berhenti, dia dan keluarga mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan harta benda.

“Kami berdepan banjir darat (air hujan) setiap tahun dan tak pernah berpindah kecuali tahun lepas. Moga tahun ini hanya banjir biasa dan tak jejaskan kami.
“Bila hujan berhenti, air akan surut cepat. Biasanya kalau hujan lebih dua jam, kami terpaksa bersiap sedia dan mengemas barang memandangkan bahagian dapur rumah akan dimasuki air,” katanya.
Tambah Basir, selain rumah dinaiki air, dia dan keluarga berdepan masalah terkepung dan tidak dapat keluar rumah sekiranya banjir berlaku.

Berkongsi nasib sama, Siti Zaleha Mamat, 29, berkata, dia dan sembilan ahli keluarga berdepan banjir setiap tahun memandangkan mereka tinggal berhampiran sungai.
Tambahnya, jika hujan masih berterusan sehingga petang, dia dan keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan memandangkan air semakin hampir ke lantai rumah.

“Air tak masuk dalam rumah lagi, tapi lantai rumah saya basah teruk sebab bocor. Kalau keadaan berterusan, saya terpaksa pindah ke pusat pemindahan demi keselesaan anak-anak yang masih kecil,” katanya.
Berkongsi rasa mangsa banjir, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Naib Ketua Umno Bahagian Machang, Ahmad Tarmizi Ismail yang turun padang meninjau kawasan mula dinaiki air serta menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa, semalam.
Source: SH Edisi Kelantan
[featured-video-plus]