DTS tidak diurus dengan cekap

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pelaksanaan perkhidmatan Sistem Pengangkutan Khusus (DTS) di Cyberjaya oleh Cyberview Sdn Bhd tidak diuruskan dengan cekap kerana tidak dapat menjana pendapatan yang mencukupi.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang dikeluarkan hari ini, ketidakcekapan itu menyebabkan DTS perlu bergantung kepada bantuan geran kerajaan untuk meneruskan operasinya.


“Kajian semula juga tidak dilaksanakan untuk mendapatkan nilai terhadap perbelanjaan penyewaan bas,” katanya.


Menurut laporan itu, hasil jualan pas bas bulanan yang diterima dengan bilangan sebenar bayaran yang dibuat oleh penumpang juga tidak pernah dibuat penyesuaian untuk mengesahkan ketepatan amaun.


Selain DTS, laporan berkenaan turut membangkitkan kegagalan Cyberview untuk menetapkan sasaran jangka panjang bagi peluang pekerjaan bernilai tinggi dan Pendapatan Negara Kasar dan diukur secara tahunan untuk memastikan objektif tercapai pada tahun 2020.


Selain itu, katanya Cyberview juga gagal mengoptimumkan ruang sewaan mengakibatkan kehilangan hasil sewaan dianggarkan berjumlah RM4.2 juta dan tidak menggunakan sepenuhnya geran yang diberikan sejak tahun 2014 dan sebelumnya dengan baki lebihan berjumlah RM27.44 juta.


Menurut laporan berkenaan, Cyberview dalam maklum balas pada 18 September 2017 berkata pelbagai usaha telah dilakukan oleh Bahagian Pemasaran DTS untuk mempromosikan perkhidmatan DTS antaranya mengadakan program pengenalan atau Outreach Program kepada syarikat yang baru bertapak di Cyberjaya.


Selain itu, katanya beberapa siri kolaborasi townhall dan sesi induksi untuk beberapa syarikat dan pemaju perumahan di Cyberjaya turut diadakan.


“Aktiviti ini didapati telah menyumbang kepada peningkatan penumpang daripada purata 1,940 penumpang pada tahun 2016 kepada 2,050 penumpang setakat bulan Ogos 2017,” katanya.


Katanya bagi tujuan penjimatan, Cyberview telah menutup laluan yang tidak ekonomi dan mengurangkan penggunaan jumlah kenderaan kepada 44 daripada 51 bermula 1 Julai 2017.


“Penjimatannya ialah sebanyak RM187,750 dan cukai barangan dan perkhidmatan sebanyak RM11,265 sebulan,” katanya.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]