Dua lagi pusat pemindahan banjir dibuka

in Edisi by


TANAH MERAH – Dua lagi pusat pemindahan banjir dibuka di daerah ini, awal pagi tadi, menjadikan kesemuanya empat dengan jumlah mangsa banjir seramai 82 orang, setakat jam 2.30 petang ini.


Pegawai Pertahanan Awam daerah, Leftenan (PA) Mohd Fadli Hassan berkata, pusat pemindahan baharu dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pasir dan Balairaya Bukit Kechik.


Katanya, pusat pemindahan di SK Alor Pasir dibuka pada jam 8 pagi tadi menempatkan tiga sekeluarga, manakala Balairaya Bukit Kechik yang dibuka pada jam 9.30 pagi menempatkan lapan orang dari satu keluarga.


“Pusat pemindahan SK Kelewek yang dibuka semalam menempatkan 39 orang dari sembilan keluarga, manakala Dewan Padang Kijang seramai 32 orang dari sembilan keluarga,” katanya, hari ini.


Menurutnya, mangsa terdiri dalam kalangan penduduk beberapa kampung yang dinaiki air susulan hujan berterusan sejak dua hari lalu.


“Kampung terlibat ialah Lubuk Agor, Manal 3, Padang Kijang, Bukit Kechik dan Alor Pasir. Jalan kampung menghubungkan Alor Pasir-Padang Kijang juga ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]