
KUALA LUMPUR – Pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri pantai timur sebanyak 1.5 peratus.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz berkata, kerajaan menjangkakan peningkatan tersebut berlaku disebabkan peningkatan aktiviti ekonomi di kawasan projek itu.
“Projek nasional ini berkeupayaan meningkatkan hasil pendapatan perniagaan industri kecil dan sederhana di kawasan terlibat, termasuk memberi peluang pekerjaan yang lebih luas kepada penduduk setempat.
“Selain itu, nilai hartanah berdekatan dengan stesen tersebut akan melonjak naik dan akan meningkatkan aktiviti pembangunan hartanah dan perdagangan di kawasan itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah (Amanah-Kuala Terengganu) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bandar utama yang manakah akan dilalui ECRL di Terengganu dan faedah yang akan dinikmati tempat terbabit.
Menurutnya, sebanyak lapan buah stesen dan sebuah stesen provisional yang akan dibina di Terengganu.
Menjawab soalan tambahan yang dikemukan oleh Raja Kamarul Baharin, Othman berkata, kerajaan telah membuat kajian terperinci, termasuk kesan kepada masyarakat yang tinggal di kawasan projek itu, sebelum mempertimbangkan untuk membina ECRL.
“Kita mengakui sepanjang jajaran, beberapa kampung, dewan, kawasan rekreasi dan sebagainya terpaksa dikorbankan. Tetapi, ini adalah sebahagian daripada usaha yang kita kira keputusan yang terbaik demi masalah umum kepada masyarakat untuk jangka panjang.
“Kita sendiri membuat perbincangan secara terperinci dengan kerajaan negeri, dan sudah tentu (perbincangan tersebut) melibatkan pejabat daerah,” ujarnya.
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]