
KUALA LUMPUR – Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi (TMP JPK) di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) gagal mengutip bayaran balik pinjaman bagi 526 akaun berstatus pinjaman tidak berbayar (NPL) membabitkan RM239.56 juta setakat Disember 2016.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini, tindakan itu boleh menjejaskan operasi pengeluaran pinjaman TMP JPK.
Laporan itu turut mendedahkan sebanyak 12 koperasi tidak pernah membuat sebarang bayaran balik sejak dari tarikh mula bayaran kena dibayar iaitu antara tiga hingga 28 tahun melibatkan amaun berjumlah RM3.32 juta.
“Didapati sembilan daripada 12 koperasi tersebut telah tamat tarikh bayaran balik yang ditetapkan melibatkan amaun tertunggak RM3.18 juta.
“Tiada tindakan undang-undang dimulakan ke atas peminjam ingkar, sungguhpun pada Jun 2014, Bahagian Pembiayaan dan Kawalan Kredit (BPKK) mencadangkan agar 41 akaun melibatkan tempoh tunggakan antara 26 dan 244 bulan,” menurut laporan itu.
Bagaimanapun, semakan audit selanjutnya ke atas fail akaun terlibat mendapati sehingga ke tarikh pengauditan, hanya satu koperasi telah diambil tindakan oleh Penasihat Undang-Undang dan baki 40 koperasi melibatkan amaun berjumlah RM11.23 juta lagi masih belum diambil sebarang tindakan.
Menurut laporan itu, tindakan merampas cagaran peminjam tidak diambil bagi mendapatkan baki bayaran dan tiada pemantauan kemajuan fizikal projek dan aktiviti dilaksanakan oleh BPKK kerana masalah kekurangan kakitangan.
TMP JPK diwujudkan di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 pada 1985 bertujuan membantu koperasi dalam penyediaan dana untuk melaksanakan projek yang berdaya maju.
Justeru, bagi memperbaiki pengurusan TMP JPK, SKM disaran untuk mengkaji semula pemantauan dengan melibatkan SKM negeri dan wilayah bagi mendapatkan semula tunggakan bayaran balik pinjaman.
“SKM harus menetapkan dasar pengenaan cagaran yang bersesuaian terhadap pinjaman di bawah RM50,000 bagi mengurangkan risiko pinjaman tidak berbayar oleh koperasi.
“Ini termasuk mengambil tindakan undang-undang seperti mencairkan cagaran pinjaman atau tindakan saman sivil bagi penghutang yang gagal membuat bayaran balik pinjaman dan mengambil tindakan terhadap pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab seperti ditetapkan,” katanya.
SKM adalah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang diperbadankan pada 1 Jan 2008. SKM sebelumnya dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia (JPK).- Bernama
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]