
BAGAN SERAI – Masjid-masjid dan surau-surau di daerah Kerian digalakkan menawar diri menjadi tuan rumah atau penganjur program Freemarket bagi memastikan lebih ramai masyarakat memerlukan mendapat manfaat sewajarnya.
Koordinator Freemarket Parit Buntar, Mohd Said Ismail berkata, cadangan itu dikemukakan pihaknya memandangkan pihak pengurusan masjid dan surau lebih mudah mengenal pasti seramai mungkin golongan asnaf dan memerlukan untuk dilibatkan dalam program Freemarket.
Selain itu, pengaruh masjid-masjid dan surau-surau akan memastikan lebih banyak individu atau badan korporat melibatkan diri sebagai penyumbang dalam program Freemarket dianjurkan, sekaligus memastikan lebih ramai penerima mendapat manfaat.
Menurutnya, di daerah Kerian, daripada tujuh program dianjurkan, sejumlah empat daripadanya mendapat sokongan pengurusan kariah masjid.
“Jika dilihat, kesan penganjuran program Freemarket dibuat di kawasan masjid dan surau ternyata mendapat sambutan lebih menggalakkan, di samping penglibatan lebih ramai penyumbang.
“Justeru, pihak kami meminta lebih banyak masjid atau surau tampil menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah atau penganjur program Freemarket ini kerana pengaruh institusi agama itu lebih kukuh untuk menarik kehadiran penyumbang dan penerima sumbangan,”katanya kepada media pada program Freemarket 07 di perkarangan Masjid Al-Athar, Masjid Tinggi di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Masjid Al-Athar, Jamaluddin Ashaari dan pengasas bersama program Freemarket Parit Buntar, Nurfarhana Daisy Yvonnie Jonathan Abdullah.
Source: SH Edisi Perak
[featured-video-plus]