Gangguan bekalan air Sabtu ini

in Edisi Utara by


GEORGETOWN РDua belas kawasan sekitar Jalan Permatang  Damar Laut akan mengalami gangguan bekalan air berjadual Sabtu ini berikutan kerja lencongan paip untuk naik taraf jalan di kawasan itu.


Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata gangguan bekalan air itu bermula 9 pagi hingga 9 malam, membabitkan 11,568 pengguna di kawasan itu.


“Kerja-kerja pelencongan paip bekalan air akan dijalankan di 18 lokasi di Jalan Permatang Damar Laut Sabtu ini bagi memudahkan projek naik taraf jalan dari Batu Maung ke Jalan Sultan Azlan Shah yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya.


“Berikutan itu pihak PBAPP perlu menutup saluran paip bekalan air 600mm sedia ada buat sementara waktu di kawasan itu kerana saluran paip kami mesti dialihkan dengan selamat dari tapak projek untuk mencegah kemalangan serta memastikan bekalan air yang baik dan berterusan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata kawasan yang terlibat ialah kawasan perindustrian Diamond Valley, Jalan Permatang Damar Laut, Kampung Permatang Masjid, Taman Sri Bayan, Desa Wangsa, Taman Sunway Cassia, Jalan Kekabu, Taman Kekabu, perumahan kluster  fasa 1 Permatang Damar Laut, perumahan kluster fasa 2 Permatang Damar Laut,  Kampung Permatang Damar dan Kampung Permatang Tepi Laut.


Pengguna di kawasan terlibat dinasihat untuk menyimpan bekalan air yang mencukupi dan pihak PBAPP memohon maaf atas kesulitan yang timbul. – Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]