
KUALA LUMPUR – Semua industri di negara ini digesa untuk terus menambah baik proses perniagaan serta meningkatkan pembangunan produk dalam usaha untuk kekal relevan dan kompetitif, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, dunia pembuatan kini memasuki era inovasi besar di mana kemajuan teknologi sains bahan telah merubah dengan cepat apa yang dianggap “mungkin” dan mewujudkan peluang perniagaan baharu.
“Perkembangan meluas dalam teknologi, sains bahan, pembuatan canggih dan model operasi bersinergi mula mentakrifkan semula ‘’seni kemungkinan’’ dan mengubah cara syarikat perkilangan bersaing dan berjaya,” katanya pada majlis makan malam Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Ke-49 di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan Ketua Setiausaha Miti, Datuk Seri J. Jayasiri.
Mustapa berkata, kerjasama antara FMM dan kerajaan merupakan komponen asas pertumbuhan ekonomi.
“Ia adalah kerjasama awam-swasta yang berfungsi untuk manfaat kedua-dua sektor dan negara secara keseluruhannya,” katanya.
Menurutnya, beberapa insentif dalam Bajet 2018 telah dibangunkan kerajaan bersama FMM serta persatuan dan dewan perniagaan yang berkaitan.
Sementara itu, bekas Presiden FMM, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, tahun kewangan 2016/2017 adalah mencabar walaupun industri menyaksikan peningkatan dalam ekonomi global.
Katanya, pelbagai cabaran dijangka dihadapi dalam beberapa bulan akan datang dan risiko kekal dalam ekonomi global, antaranya risiko geopolitik, ancaman dasar perlindungan perdagangan serta saingan yang sengit.
Wee Chai berkata, negara telah kehilangan beberapa bentuk daya saing eksport dengan kemunculan ekonomi kos rendah yang lain di rantau ini.
Pekilang perlu menilai persaingan secara realistik untuk kekal dalam industri, katanya.
“Kami perlu mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing, mengautomasi dan mengguna pakai teknologi baharu, menjalankan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan, meningkatkan kecekapan, produktiviti, kualiti dan meningkat naik rantaian nilai global.
“Kia perlu kekal relevan, mantap dan mampan walaupun kos meningkat,” katanya. – Bernama
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]