Gesa siasat dakwaan penganjuran PBIM gagal

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang diminta agar menyiasat beberapa dakwaan negatif berhubung penganjuran Larian Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) yang diadakan Ahad lalu.


Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, kerajaan negeri melalui Exco Pelancongan, Law Heng Kiang perlu mengambil tindakan terhadap aduan peserta yang menyertai larian membabitkan 35,000 peserta dari seluruh negara itu.


Menurutnya, aduan yang ‘tidak sedap didengar’ itu secara tidak langsung menjatuhkan imej Pulau Pinang di persada antarabangsa berikutan pihak pengurusan yang didakwa tidak profesional.


“Pada Ahad lalu, beberapa masalah dilaporkan berlaku antaranya saiz baju dan pengedaran makanan sudah luput tarikh. Selain itu, dikatakan jumlah pingat tidak mencukupi menyebabkan peserta terpaksa menunggu sehingga dua jam untuk mendapatkan pingat.


“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana memberi imej buruk kepada Pulau Pinang. Lebih teruk, ada peserta mengatakan mereka tidak akan menyertai PBIM pada tahun depan,” katanya ketika dihubungi.


Terdahulu, melalui media sosial, ramai peserta merungut tentang penganjuran PBIM yang didakwa tidak profesional dalam beberapa perkara terutamanya pemberian makanan tamat tarikh luput dan saiz baju.


Lebih mengecewakan, ada juga yang menyatakan tidak akan menyertai acara larian antarabangsa itu pada penganjuran akan datang kerana kecewa dengan pihak pengurusan yang dikatakan gagal menguruskan acara tersebut dengan baik.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]