
KESEMUA bekalan durian pada Pesta Durian Kampung dan D24 di Bandar Jengka, di sini, habis dalam tempoh enam jam hingga menyebabkan penganjur menutup perniagaan lebih awal.
Pesta yang pertama kali diadakan di Bandar Jengka hingga menarik minat penduduk serata negeri Pahang terutama dari Temerloh dan Jerantut itu juga terpaksa dibuka kira-kira tiga jam lebih awal daripada perancangan asal pada jam 10 pagi.
Malah, tinjauan Sinar Harian pada jam 8.30 pagi mendapati lebih 300 orang memenuhi enam khemah besar disediakan penganjur juga peniaga, Mohd Supian Abu Bakar pada pesta yang turut dihadiri Adun Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail dan Ketua Puteri Umno Bahagian Kuala Krau, Nur Afzan Abu Kassim.
Supian berkata, pembukaan lebih awal itu bagi mengelak kesesakan lalu lintas selepas orang ramai membanjiri tapak pesta berkenaan seawal jam 7.30 pagi.
“Saya terkejut dengan sambutan yang diberikan tapi stok yang sediakan amat terhad iaitu hanya tujuh tan durian iaitu dua tan bagi durian kampung dan lima tan durian kahwin (D24 dan Musang King).

“Durian kampung dan D24 adalah untuk jamuan pesta manakala Musang King untuk jualan saja. Harga yang kami tawar sangat berbaloi iaitu RM18 seorang bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun,” katanya.
Menurutnya, durian tambahan turut dikeluarkan namun tidak juga mampu menampung permintaan pengunjung hingga menyebabkan pesta dijangka tamat jam 6 petang itu ditutup lebih.
“Tak sangka durian habis awal. Itu pun kami terpaksa tambah selori dan dua buah pacuan empat roda (Toyota Hilux) durian kampung dan D24 lagi untuk tak hampakan pengunjung dari jauh,” katanya.
Pulangkan wang
Mohd Supian berkata, pembekal gagal menghantar durian seperti ditempah hingga menyebabkannya terpaksa mencari pembekal lain dan mengeluarkan kos yang lebih semata-mata mahu memastikan pesta itu berjalan lancar.
“Pesta ini julung kali kami anjurkan di Bandar Jengka. Saya tidak sangka kuasa viral dan penangan akhbar Sinar Harian membuatkan pesta ini diserbu orang ramai termasuk 40 peratus penduduk luar sehingga sesak jadinya.
“Begitu pun kami bersyukur tiada sebarang kemalangan atau perkara tidak diingini berlaku. Pengunjung yang tidak mahu tunggu lama kami pulangkan duit dan tawarkan harga murah kepada yang ingin membeli untuk dibawa pulang sebagai tanda meminta maaf,” katanya.
Menurutnya, pesta sama akan diadakan lagi tetapi pada awal musim bagi memastikan bekalan stok tidak putus jika diserbu pengunjung.
Pengunjung puas makan
Seorang pengunjung, Marhani Mohd Latib, 33, dari Felda Jengka 1 di sini berpuas hati dengan layanan penganjur dan keadaan majlis yang teratur.
“Saya datang seawal jam 9 pagi bersama keluarga dan jiran. Memang berbaloi sebab dapat makan sampai puas pada harga yang murah. Ada durian D24 yang kita tahu sekilogram mencecah RM25 hingga RM35 di sini.
“Bagi saya kalau dapat sebiji durian kampung pun kita dah rasa murah dengan bayaran RM18 apatah lagi bila dapat D24. Memang puas hati dan harap ia dianjurkan lagi pada tahun depan,” katanya.
Umi Kalsum Zaini, 47, dari Lepar Hilir 3, berkata, peluang untuk menikmati raja buah itu tidak dilepaskan walau pun tahu tapak pesta itu pasti diserbu orang ramai berikutan tawaran harga yang murah.
“Rugi kalau tak pergi sebab buah durian sekarang mahal. Datang awal pagi sebab boleh duduk lama makan sampai kenyang,” katanya.
Kecewa durian habis awal
Sementara itu, terdapat pengunjung yang kecewa kerana terpaksa pulang lebih awal .

Aleya Arshad, 33, berkata dia dalam perjalanan dari Temerloh menuju ke pesta durian pada jam 12 tengah hari sebelum dimaklumkan rakan yang sudah berada di tapak pesta bahawa durian semakin berkurangan.
“Saya datang juga sebab nak sangat rasa suasana pesta durian. Sayangnya buah dah tak banyak tapi masih ramai beratur.
“Pesta begini pertama kali diadakan di Bandar Jengka, itu yang berduyun-duyun orang Jengka, Maran dan Temerloh turun. Tahniah penganjur,” katanya.
Source: SH Edisi Pahang
[featured-video-plus]