Hari keluarga bertukar tragedi

in Semasa by


MERSING – Hari keluarga di pantai Tanjung Leman bertukar tragedi apabila salah seorang daripadanya lemas dalam satu kejadian, pagi semalam.


Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa, Maryani Rais, 59, yang turun ke laut untuk mandi bersama ahli keluarganya telah dihanyutkan ombak besar.


Ketua Polis Daerah Mersing, Superitendan Cyril Edward Nuing berkata, mangsa yang merupakan peneroka dari Felda Layang Layang Kluang itu ditemui sekitar 10 minit kemudian.


“Mangsa rebah selepas dipukul ombak besar. Usaha mencari telah dijalankan ahli keluarga dan mangsa hilang lebih kurang 10 minit sebelum ditemui terapung tidak sedarkan diri.


“Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Tenggaroh 2 dan disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Semalam, keluarga mangsa datang ke pantai Tanjung Leman bagi mengadakan hari keluarga dengan sekitar 10 orang ahli keluarga.


Difahamkan ketika kejadian cuaca mendung, keadaan ombak tinggi dan mengikut laporan Jabatan Meteorologi ia mencecah 2.5 meter hingga 3 meter yang berbahaya untuk aktiviti pantai.


Cyril berkata papan tanda amaran mengenai keselamatan mandi manda di kawasan tepi pantai memang sudah diletakkan untuk panduan pengunjung.


“Patuhilah amaran papan tanda dan tanda amaran yang diletakkan pihak keselamatan dan pantau keadaan cuaca serta laut apabila mahu menjalankan sebarang aktiviti di laut.


“Sentiasa peka dan berhati-hati semasa menjaalankan aktiviti di pantau atau laut semasa musim tengkujuh ini,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]