
JAKARTA – INDONESIA . Kementerian Industri Indonesia kini bersiap sedia untuk mencapai sasaran sebanyak 20 peratus daripada dua juta kereta, yang dihasilkan negara menjelang 2025 terdiri kereta elektrik, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Menterinya, Airlangga Hartarto berkata, Indonesia akan melakukan ujian terhadap beberapa kereta elektrik pada Disember 2017 selain menjalankan projek perintis.
Aktiviti berkaitan dengan kerja-kerja teknikal, termasuk penyediaan jentera, bateri, bahan dan sumber tenaga untuk bateri kereta elektrik sudah dilaksanakan.
Di samping itu, Indonesia juga telah mempertimbangkan untuk menggunakan sel bahan api hidrogen, kerana negara itu mempunyai sejumlah besar arang batu yang dapat menghasilkan gas tersebut.
Hartarto berkata, insentif fiskal merupakan bahagian penting dalam usaha untuk menggalakkan pembangunan kereta elektrik kerana tanpanya harga akan menjadi 30 peratus lebih tinggi berbanding kenderaan konvensional.
Insentif boleh diberikan kepada institusi yang menjalankan penyelidikan mengenai komponen kereta elektrik seperti motor elektrik, bateri dan unit kawalan kuasa, katanya.
Kementerian Industri Indonesia bekerjasama dengan Kementerian Kewangan berhubung perkara itu, dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan menjelang akhir tahun ini.
Insentif boleh diberikan secara berperingkat berdasarkan komitmen pengeluar.
Indonesia juga akan bekerjasama dengan Korea Selatan dalam menghasilkan bateri lithium-ion untuk kereta elektrik dan menghantar jurutera kimia untuk mengikuti latihan di negara berkenaan.- Bernama
Source: SH Global
[featured-video-plus]