
JELI mengesahkan status selaku juara kumpulan dua sekali gus melayakkan diri ke pusingan play-off saingan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Zon Timur, musim ini.
Pasukan itu mengiringi Rantau Panjang-EJD, Tanah Merah dan juara bertahan, Gua Musang berentap dalam aksi timbal balik yang dijadualkan berlangsung, 9 dan 16 Disember ini.
Rantau Panjang-EJD selaku juara kumpulan satu akan bertemu Jeli, manakala juara kumpulan tiga, Tanah Merah menunggu juara kumpulan empat, Gua Musang dan hanya dua pasukan terbaik akan melangkah ke peringkat kebangsaan.
Pada aksi terakhir Sabtu lalu, skuad kendalian Tengku Marzuki Tuan Mat membelasah Besut 5-1 menerusi dua gol sumbangan Mohamad Zaidiey Soafian Mohamed selain Muhamad Khairu Ikhwan Mohamed, Abd Syalam Azmi dan Mohd Farhan Che Daud.
Kemenangan tersebut sekali gus memadamkan hasrat pencabar terdekat, Besut Glow-Glowing untuk merebut kejuaraan setelah mereka setelah tewas 2-3 di tangan Pasir Puteh di tempat lawan.
Pertemuan Rantau Panjang-EJD menentang Hulu Terengganu dalam Kumpulan Satu dibatalkan akibat masalah teknikal manakala, Pengkalan Chepa mengejutkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) FC 2-1 untuk meraih kemenangan pertama, pada perlawanan terakhir itu.
Sementara itu, rekod tanpa kalah Tanah Merah lebur setelah tunduk 1-2 kepada Marang di laman sendiri sementara Pasir Mas gagal memberi saingan setelah dibelasah wakil Terengganu, Marang 5-2 pada aksi kumpulan tiga.
Bagaimanapun kekalahan tersebut tidak menggugat kedudukan skuad kendalian Mohd Nazaruddin Mat Zain yang terlebih dahulu mengesahkan kejuaraan peringkat kumpulan, dua minggu lalu.
Dalam pada itu, Ketereh-Politeknik Kota Bharu (PKB) terikat 1-1 dengan Gua Musang pada aksi kumpulan empat biarpun mendahului menerusi Mohamad Shahrul Naim Ibrahim pada minit ke-40 sebelum kapten pelawat, Mohd Suhaidi Azhar Mohamad menyamakan kedudukan (m-62).
Kuala Krai di bawah kendalian Che Saupi Ibrahim menamatkan kempen di tangga kedua setelah berpesta gol 7-1 ke atas Kota Bharu dengan Amirul Ezak Mohd Yasim meledak jaringan pada minit keempat dan 74, Muhamad Akhil Asyraf Abdul Rahim (m-25,86), Farez Affzan Ismail (m-44,49) dan satu lagi menerusi Muhamad Fakhrul Azmi Muhamad (m-54).
Source: SH Sukan
[featured-video-plus]