Jin Wei fokus tahap kecergasan

in Sukan by


PEMAIN badminton wanita negara, Goh Jin Wei akan fokus terhadap usaha memperbaiki kekuatan fizikal dan mental sebagai persediaan untuk bersaing pada tahap yang lebih baik menjelang pembukaan tahun depan.


Katanya, permainannya semakin baik tetapi perlu memperbaiki kekuatan fizikal serta daya tahan kerana setiap perlawanan sukar dijangka di mana akan ada berlanjutan melewati sejam.


Dia akui daya ketahanan yang tinggi adalah faktor terpenting dalam memastikan pemain itu mampu bermain konsisten dan dapat mengawal permainan dengan baik meskipun berada dalam keadaan  tertekan.


Katanya lagi, ketahanan yang tinggi itu juga memainkan peranan dalam memastikan setiap pemain  tidak berputus asa di tengah-tengah permainan, namun beliau mengakui usaha meningkatkan daya mental itu adalah satu daripada cabaran getir buat pemain.


“Setakat ini, (permainan) semakin baik tetapi saya kena lebih kuat dari segi fizikal kerana setiap perlawanan akan memakan masa lebih sejam.

Jin Wei sasar kelompok 20 terbaik 2018.


“Lagipun tahun depan banyak kejohanan yang akan saya sertai, jadi saya mahu memastikan saya tidak akan cepat letih.


“Ini kerana saya juga ada sasaran yang mahu dicapai, oleh itu perkara utama yang perlu dilakukan ketika ini ialah tingkatkan kekuatan fizikal,” katanya ketika dihubungi.


Mengulas mengenai sasarannya tahun depan, pemain berusia 17 tahun itu menetapkan tiga sasaran iaitu beraksi di Kejohanan Dunia di Nanjing, China, mewakili Malaysia di Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia di Jakarta, Indonesia serta memperbaiki kedudukan ranking dunia.


Jin Wei yang pernah menduduki ranking dunia nombor 29 tetapi menurun ke kedudukan 52 akibat kecederaan mengakui bahawa tahun depan akan menjadi ‘tahun yang berat’ untuknya.


“Terdapat banyak kejohanan, tetapi kejohanan dunia adalah matlamat utama saya.


“Apa pun, saya sedikit lega kerana tahun depan saya sudah tidak terikat dengan pelajaran, dengan itu saya boleh memberi tumpuan sepenuhnya dengan latihan badminton.


“Dari segi kedudukan ranking pula, saya mahu berada di kelompok 20 terbaik, saya harap boleh mempamerkan aksi cemerlang tetapi pada masa sama, saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri,” ujarnya yang akan bermain untuk Kelab Badminton Ampang Jaya (AJBC) di Liga SS Purple (SSPL).


Janji aksi terbaik


Sementara itu, Jin Wei berkata beliau akan cuba memberi yang terbaik dalam membantu kelab itu untuk meraih kejuaraan SSPL.


“Saya akan bermain di SSPL sehingga Januari tetapi saya perlu terlepas aksi itu pada bulan Februari supaya saya dapat memberi tumpuan penuh kepada kelayakan Piala Uber.


“Apa pun, saya yakin kehadiran pemain lain seperti Chan Peng Soon dan Zulfadli Zulkiffli mampu membantu Ampang Jaya untuk meraih kejuaraan musim depan,” kata pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur itu.

Jin Wei mahu perbaiki aspek fizikal sebagai persediaan pembukaan kejohanan tahun depan.


SSPL akan diadakan di Arena Sukan di Taman Sentosa, Old Klang Road dari 18 hingga 28 Januari.


Perlawanan akhir akan diadakan di Arena of Stars di Resorts World Genting dari 8 hingga 11 Februari.


Aspirasi untuk muncul juara akan menjadi ujian besar buat Ampang Jaya jika mengambil kira pencapaian mereka musim lalu.


Edisi terdahulu menyaksikan Ampang Jaya menamatkan cabaran di kedudukan keenam daripada 10 pasukan bertanding.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]