JPS Perlis disyor koordinasi semua sungai

in Edisi Utara by


KANGAR – Ketua Audit Negara mengesyorkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis mengkoordinasi semua sungai di negeri ini serta membuat pemantauan dan pemuliharaan sungai secara berkala bagi menjamin kualiti air untuk keperluan pengguna.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 dikeluarkan hari ini, JPS juga perlu membuat analisis air dan membandingkannya dengan usaha-usaha yang dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti air dan sungai.


“Umumnya laporan tersebut berpuas hati dengan JPS Perlis kerana memperkenal beberapa penambahbaikan sehingga berjaya mengurangkan kes-kes ketidakpatuhan terhadap prosedur kerajaan.


“Penetapan asas-asas yang jelas oleh JPS dalam melaksana projek-projek oleh kontraktor adalah baik namun sebarang pelanggaran prosedur harus diambil tindakan segera,” menurut laporan itu.


Pengauditan itu yang dijalankan dari Mac 2017 hingga Jun 2017, membabitkan program dan projek dari 2014 hingga April 2017, mendapati pengurusan dan pemuliharaan 29 sungai utama sepanjang 215.75 kilometer oleh JPS Perlis diuruskan dengan cekap dan berkesan serta mencapai objektif.


Dalam tempoh itu, JPS Perlis diberi peruntukan RM4.4 juta dan berjaya melaksanakan 149 projek yang menelan kos RM3.26 juta atau 74 pertus daripada jumlah peruntukan.  


Menurut laporan itu, pembinaan strutktur kawalan hakisan dan penstabilan tebing sungai serta kerja-kerja mendalam dan membersihkan sungai berjaya mengoptimumkan pengaliran air sungai namun masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian.  


“Pengauditan mendapati sasaran pelaksanaan projek tidak disediakan secara terperinci mengikut keutamaan; kontrak formal tidak disediakan bagi perolehan perkhidmatan secara bermasa; dan lokasi pelaksanaan projek tidak dinyatakan dengan lengkap dan tepat.


“Semakan Audit, bagaimanapun mendapati perolehan secara lantikan terus dan sebutharga diurus mengikut Pekeliling Perbendaharaan PK 2.1 yang berkuat kuasa,” menurut laporan itu.


Bagi tujuan menambahbaik pengurusan pemuliharaan sungai-sungai, Ketua Audit Negara mengesyorkan JPS Perlis menyediakan perancangan pelaksanaan projek secara terperinci mengikut keutamaan bagi mengelak projek yang dirancang tidak dilaksanakan.- Bernama

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]