Jumlah pekerja asing menurun

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Jumlah pekerja asing di Malaysia telah menurun, dari tahun 2015 hingga 2017.


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), jumlah pekerja asing pada 2015 adalah 2.1 juta orang.


“Namun, ianya (jumlah pekerja asing) berkurang kepada 1.8 juta orang pada 2016. Kalau kita lihat kepada pas pekerja imigresen, jumlah pekerja asing sehingga September 2017 adalah 1.7 juta orang.


“Penurunan pekerja asing ini berlaku disebabkan oleh dasar dan langkah kerajaan, iaitu pengambilan pekerja asing tidak melebihi 15 peratus (tenaga kerja dalam negara), sepertimana dalam sasaran Rancangan Malaysia Kesebelas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin-BN) yang meminta kerajaan untuk menyatakan langkah yang telah dibuat untuk mengurangkan pekerja asing dan mengurangkan kadar pengganguran dalam negara.


Menurut Ismail, kadar pengangguran negara mengikut statistik Jabatan Perangkaan adalah 3.4 peratus bersamaan dengan 511,600 orang pada suku kedua tahun ini.


Kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan.


“Kerajaan sedang mempromosikan program penempatan pekerja yang dikelolakan oleh Jabatan Tenaga Kerja dan mengalakkan sektor berintensif buruh beralih kepada penggunaan mekanisasi dan automasi.


“Kerajaan juga telah memperkenalkan dasar TVET negara dan memperkenalkan nisbah pekerja, iaitu nisbah pekerja tempatan kepada pekerja asing. Seperti contoh, sesebuah ladang kelapa sawit yang berkeluasan lapan hektar, hanya satu pekerja asing sahaja yang boleh diambil,” ujarnya.


Beliau berkata, kerajaan tidak sewenang-wenangnya meluluskan pemgambilan pekerja asing sekiranya dipohon pihak majikan dengan perkara ini terbukti apabila kerajaan hanya meluluskan 215,000 permohonan pekerja asing daripada 332,224 permohonan yang diterima dalam sektor perkilangan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]