Jumlah pinjaman lapan kementerian meningkat

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Jumlah pinjaman Badan Berkanun Persekutuan di bawah lapan kementerian mencatatkan peningkatan manakala di bawah lima kementerian lain menunjukkan penurunan dan 10 kementerian tidak mempunyai sebarang pinjaman pada 2016.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang dikeluarkan hari ini, Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pertahanan mencatatkan peningkatan pinjaman sebanyak RM68.81 juta kepada RM105.84 juta berbanding RM37.025 juta pada tahun sebelumnya.


Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pendidikan pula merekodkan penurunan sebanyak RM29.69 juta kepada RM35.52 juta daripada RM65.21 juta pada 2015.


“Analisis Audit mendapati Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional mencatatkan baki pinjaman tertinggi berjumlah RM40.35 bilion pada 2016.


“Ini diikuti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan berjumlah RM6.82 bilion, Lembaga Pelabuhan Kelang (RM3.804 bilion), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (RM0.932 bilion),” menurut laporan itu.


Katanya Badan Berkanun Persekutuan lain mencatatkan baki pinjaman berjumlah RM2.384 bilion.


“Analisis Audit terhadap baki pinjaman Badan Berkanun Persekutuan mendapati 13 Badan Berkanun Persekutuan mencatatkan peningkatan baki pinjaman, 12 Badan Berkanun Persekutuan menunjukkan penurunan baki pinjaman dan 101 Badan Berkanun Persekutuan tidak mempunyai sebarang pinjaman pada 2016,” katanya.


Sebanyak lima Badan Berkanun Persekutuan, masing-masing mencatatkan peratus peningkatan dan penurunan tertinggi bagi baki pinjaman tahun 2016 berbanding tahun 2015.


Perbadanan Perwira Niaga Malaysia mencatatkan peratus peningkatan baki pinjaman tertinggi sebanyak 185.8 peratus disebabkan pertambahan overdraf bank berjumlah RM21.74 juta dan peningkatan penerimaan bank serta kredit pusingan masing-masing berjumlah RM17 juta dan RM21.18 juta.


Perbadanan PR1MA Malaysia mencatatkan peratus peningkatan baki pinjaman kedua tertinggi sebanyak 103.7 peratus disebabkan penyusunan semula perjanjian kemudahan pembiayaan pinjaman bank dengan jumlah pembiayaan baharu sebanyak RM2.5 bilion untuk 35 projek yang sedang dalam pembinaan.


Baki pinjaman Lembaga Hasil Dalam Negeri pada 2016 berbaki sifar disebabkan kesemua pinjaman berjangka selesai dibayar.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]