‘Kami sudah kalis air’

in Edisi by


TANAH MERAH – Laluan utama Jalan Jedok di Kampung Kelewek dekat sini, sekali lagi dinaiki air, awal pagi semalam, susulan hujan berterusan selama dua hari sejak kelmarin.


Air dikatakan mula melimpahi jalan kira-kira jam 10 pagi sebelum keadaan bertambah teruk pada jam 3 petang apabila air mula memasuki rumah dan premis di kawasan itu.


Penduduk terjejas, Nor Azri Mat Yusoff, 36, berkata, masalah air melimpah atas jalan itu bukan perkara baharu kerana sudah berlanjutan sejak lebih 10 tahun lalu.


Katanya, kejadian paling teruk ialah pada 2014 apabila kawasan itu dilanda banjir kilat akibat limpahan air atas jalan berkenaan sebanyak lapan kali.


“Kami sudah ‘kalis’ dengan kejadian air melimpah atas jalan di kawasan ini kerana masalah ini sudah terlalu lama tapi sampai sekarang masih tak selesai.


“Sudah lama kami bersabar tapi sampai satu tahap, kami buat tak tahu saja,” katanya, semalam.

Rumah kedai Nor Azri (kanan) yang dimasuki air selepas air melimpah atas jalan di Jalan Jedok, dekat Kelewek, Tanah Merah.


Menurutnya, masalah berpunca daripada ketiadaan saliran perparitan di kawasan itu selain laluan air yang tersekat di kawasan kampung berkenaan.


“Limpahan air dari jalan ini mengalir ke kawasan kampung tapi aliran air di kawasan itu pula tersekat, jadi air tendang naik semula ke jalan ini,” katanya.


Tambahnya, agensi kerajaan berkenaan pernah beberapa kali meninjau masalah air melimpah di kawasan itu, namun sehingga kini tidak ada tindakan susulan diambil.


“Cukup kalau hujan berterusan untuk dua tiga jam, air akan melimpah naik atas jalan dan menjejaskan penduduk di kawasan ini.


“Macam-macam cadangan diberi untuk selesaikan masalah ini seperti gali parit dan tinggikan jalan tapi setakat itu saja, tak ada tindakan,” katanya.


Nor Azri berkata,masalah itu juga dapat diselesaikan jika pihak berkenaan bersetuju cadangan penduduk supaya membina parit di kawasan berkenaan yang mengalirkan air terus ke Sungai Manal.


Sementara itu, tinjauan di kawasan itu pada jam 4 petang mendapati, keadaan air melimpah atas jalan masih tidak berubah dalam situasi hujan masih berterusan.


Namun, laluan sejauh kira-kira 300 meter yang dinaiki air masih dibuka kepada semua kenderaan.


Laluan berkenaan dapat menghubungkan pengguna jalan raya dari arah bandar Tanah Merah dengan Jalan Kota Bharu – Machang – Jeli.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]