
KUALA KRAI – Mayat kanak-kanak lelaki yang lemas selepas tergelincir ke dalam sungai di Kampung Peria Baru, ditemui jam 10.20 pagi ini.
Mayat Muhammad Fawwaz Atiqullah Kamarulnizam, 6, ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh oleh pasukan penyelamat dan penduduk yang memulakan operasi pada jam 7 pagi ini.
Mayat murid Pra Sekolah Kebangsaan Temalir itu ditemui dalam keadaan tidak berbaju.
Datuk mangsa, Ibrahim Abdullah, 54, berkata, dia tidak menyedari mangsa ke tempat kejadian yang terletak hanya 500 meter dari rumahnya.
Menurutnya,sebelum ini dia sering memantau pergerakan cucunya yang disifatkannya agak aktif supaya tidak ke kawasan sungai.
“Saya tidak sedar bila cucu ke sungai dan hanya mengetahui tentang kejadian apabila sepupunya balik ke rumah beritahu dia lemas.
“Kebiasaannya dia akan ke tempat mengaji al Quran, tetapi semalam dia tidak sempat mengaji,” katanya yang turut mengupah mangsa setiap kali pergi mengaji sebagai galakan agar arwah lebih rajin.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai,Mohamad Hanif Che Khalid berkata,operasi hari ini melibatkan 12 anggota bomba dari Kuala Krai,empat anggota dari Unit Pasukan Penyelamat di Air ( PPDA) serta penduduk kampung.
” Mayat mangsa telah pun ditemui dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Source: SH Edisi Kelantan
[featured-video-plus]