
Kanser tahap empat: Peminat Elyana menangis
SIAPA sangka, di sebalik senyum tawa dan sikap gila-gila yang ditunjuknya selama ini, tersimpan satu rahsia berat yang ditanggung penyanyi dan pelakon, Elyana.
Elyana yang tersingkir dalam konsert minggu kelima Gegar Vaganza musim keempat (GV4) malam tadi, mengejutkan ramai ketika membuat ucapan apabila mengakui dia adalah pejuang kanser dan meminta pesakit kanser lain untuk terus kuat melawan penyakit itu.
Tidak hanya mengejutkan penonton di dewan dan di rumah, pengumuman itu juga mengejutkan peminat setia Elyana.
Wakil kelab peminat Elyana, Zahar Bubu yang ditemui selepas tamat program GV4 mengakui terkejut dan seluruh ahli kelab juga menangis.
“Kami hanya mampu mendoa yang terbaik untuk Elyana. Moga dia terus kuat melawan penyakitnya dan sembuh,” katanya.

Sementara itu, bintang berusia 30 tahun ini yang ditemui media selepas berakhirnya GV4 mendedahkan dia menyimpan rahsia penyakitnya selama tujuh tahun kerana tidak gemar berkongsi perkara yang menyedihkan.
“Saya disahkan menghidap kanser limfoma atau kelenjar tahap kedua sejurus selepas melahirkan cahaya mata sulung, Cinta Sumayyah, tujuh tahun lalu.
“Saya tidak pernah berkongsi perkara ini dengan peminat dan masyarakat kerana tidak mahu orang lain bersedih. Jadi hanya keluarga dan teman-teman rapat sahaja yang tahu mengenai perkara ini,” jelasnya.
Tambah pemilik nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal, biarpun kanser tersebut sudah sampai tahap keempat kini, dia tidak pernah berputus asa dan sentiasa berfikiran positif.
“Saya telah berikhtiar dengan menjalani berpuluh-puluh rawatan kemoterapi, namun kerana kekangan kewangan, saya turut mencuba alternatif lain.
“Kali terakhir saya menjalani kemoterapi sebelum bulan Ramadan lalu. Saya berhenti kerana mahu terlibat dengan Gegar Vaganza.
“Saya percaya hanya dengan berfikiran positif membuatkan saya lupa tentang penyakit.
“Selepas pengumuman ini, saya berharap mampu membuka masyarakat mengenai penyakit kanser dan menjaga kesihatan sebaiknya,” ujarnya.
Ditanya kesan penyakit ini terhadap dirinya, penyanyi yang terkenal dengan lagu Kalis Rindu ini mengakui pernah berasa bimbang untuk tidur setiap malam.
“Saya bimbang untuk tidur kerana bimbang jantung saya akan berhenti dan saya tidak dapat berjumpa dengan anak saya lagi,” akuinya.
Source: SH Hiburan 1
[featured-video-plus]