Kementerian Kesihatan rampas produk Gozout

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan merampas produk Gozout dianggarkan bernilai RM2.3 juta di sekitar Kelantan dan Terengganu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.


Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah mengesahkan bahawa produk itu bukan keluaran produk berdaftar dan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kerana ia mengandungi 100 peratus bahan aktif.


“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi kementerian juga menerima maklumat berkenaan pengiklanan dan penjualan produk Gozout yang membuat pelbagai tuntutan perubatan dan kesihatan yang mengelirukan orang ramai,” katanya.


Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak terpengaruh dengan pengiklanan produk kesihatan tidak berdaftar dengan tuntutan perubatan yang melampau serta lebih peka dan berhati-hati terhadap pengiklanan dan penjualan produk kesihatan dalam talian.


Produk Gozout diiklankan antaranya sebagai produk berkaitan kencing manis, gout dan darah tinggi secara dalam talian.


“Pemilik dan pengedar produk kesihatan perlu merujuk NPRA bagi memastikan produk-produk yang dijual di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.


Noor Hisham berkata penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Peraturan 30(1) Peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.


“Orang awam diminta untuk sentiasa memastikan produk yang diguna adalah berdaftar, produk tersebut mestilah mempunyai pelekat keselamatan hologram dan dilabel dengan nombor pendaftaran yang sah,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]