
IPOH – Seorang lelaki melecur di tangan dan leher ketika meredah api menyelamatkan diri dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Cempaka di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengahari itu, Muhamad Safuan Mustaffa, 26, sedang tidur di bahagian atas rumah dan tersedar selepas keseluruhan ruang rumah kakaknya itu dipenuhi asap.
Ketua Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, Zulkifli Mohamad berkata, mangsa mengalami melecur tahap satu kira-kira 14 peratus pada bahagian leher dan tangan.
“Seramai 11 Anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.54 tengahari dan setibanya di lokasi kejadian, kebakaran itu berjaya dipadamkan penduduk setempat.
“Bagaimanapun, terdapat seorang lelaki cedera dan anggota bertindak memberikan rawatan awal dan dihantar mendapatkan rawatan lanjut dengan menggunakan jentera Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya.
Menurutnya, kebakaran membabitkan perabot dan peralatan yang terletak di tepi tangga rumah berkenaan.
“Anggota bertindak memadamkan sisa bara-bara api sehingga berjaya dipadamkan sepenuhnya. Punca Kebakaran dan kerugian sedang disiasat,” katanya yang tamat operasi kira-kira jam 2 petang.
Source: SH Edisi Perak
[featured-video-plus]