
KUALA LUMPUR – Liabiliti bagi 126 Badan Berkanun Persekutuan di bawah 23 kementerian telah mengalami peningkatan sebanyak RM5.505 bilion pada 2016 kepada RM144.014 bilion berbanding RM138.509 billion pada tahun sebelumnya.
Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi mempunyai liabiliti tertinggi berjumlah RM54.815 bilion, diikuti Kementerian Kewangan berjumlah RM35.040 bilion, Jabatan Perdana Menteri (RM16.390 bilion) dan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (RM11.271 bilion).
“Badan Berkanun Persekutuan di bawah kementerian lain mempunyai liabiliti berjumlah RM26.498 bilion,” menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 (Pengesahan Penyata Kewangan Badan Berkanun Persekutuan, Akaun Amanah dan Agensi Lain) yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara.
Liabiliti semasa dan bukan semasa Badan Berkanun Persekutuan adalah terdiri daripada komponen utama seperti pinjaman, overdraf, pemiutang, deposit dan pendahuluan.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional telah mencatat liabiliti tertinggi berjumlah RM43.342 bilion pada 2016 diikuti oleh Bank Simpanan Nasional berjumlah RM27.403 bilion, Majlis Amanah Rakyat (RM11.149 bilion) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (RM9.929 bilion).
Analisis Audit terhadap jumlah liabiliti Badan Berkanun Persekutuan mengikut kementerian mendapati 13 kementerian mencatatkan peningkatan jumlah liabiliti, manakala 10 kementerian menunjukkan penurunan jumlah liabiliti pada 2016.
Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencatat peningkatan jumlah liabiliti tertinggi sebanyak 226.2 peratus kepada RM893.60 juta berbanding RM273.92 juta pada tahun sebelumnya.
Manakala Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Kesihatan merekodkan penurunan jumlah liabiliti tertinggi sebanyak 48.9 peratus kepada RM10.90 juta pada 2016 berbanding RM21.35 juta pada 2015.
Pada 2016, baki pinjaman 25 Badan Berkanun Persekutuan di bawah 13 kementerian berjumlah RM54.289 bilion, iaitu meningkat RM6.109 bilion atau 12.7 peratus berbanding RM48.18 bilion pada 2015.
Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi mempunyai pinjaman tertinggi berjumlah RM40.581 bilion diikuti Jabatan Perdana Menteri (RM7.063 bilion), Kementerian Pengangkutan (RM4.224 bilion) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, RM0.932 bilion.- Bernama
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]