Lima ambulans sudah mencukupi

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Lima ambulans yang dimiliki buat masa ini dikira sudah mencukupi untuk menampung keperluan sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan di Port Dickson.


Demikian kata Exco Pendidikan dan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Serting) ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh M Ravi (Port Dickson-PKR) pada sesi pertanyaan dan jawapan berbentuk lisan.


Adun terbabit khuatir dengan bilangan dinyatakan kerana mengambil kira latar belakang daerah berkenaan sebagai bandar peranginan yang sering menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.


“Kita dimaklumkan setakat hari ini, tak timbul masalah untuk menangani sebarang panggilan kecemasan. Jumlah itu memang mencukupi,” ujar Shamsulkahar secara ringkas.


Mengulas bilangan ambulans yang masih berfungsi dengan baik pula, beliau berkata, jumlahnya sebanyak 90 buah.


“Sebanyak 36 ambulans ditempatkan di klinik kesihatan, di mana 34 daripadanya merupakan klinik kesihatan luar bandar.


“Taburannya adalah tujuh di Kuala Pilah, lapan Jempol, lima Tampin, lima Port Dickson, tiga Rembau, tiga Jelebu dan selebihnya di Seremban.


“54 lagi ambulans beroperasi di enam buah hospital yang ada di negeri ini,” katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan ke-13, di sini, semalam.


Menurutnya, ada beberapa klinik kesihatan di kawasan bandar seperti Seremban tidak mempunyai ambulans berikutan mendapat liputan bagi perkhidmatan tersebut daripada hospital berhampiran.


“Kos penyelenggaran bagi kesemua ambulans ini bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu sekitar RM272,000,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]