LZS jalin kerjasama dengan Akla Services

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil pelbagai inisiatif untuk terus membantu golongan asnaf fakir dan miskin dalam usaha mereka membantu meningkatkan taraf hidup masing-masing.


LZS secara rasminya bersetuju menjalin kerjasama dengan Akla Services, satu aplikasi telefon pintar yang berfungsi sebagai penghubung kepada pemilik dan pengusaha perniagaan serta individu yang memerlukan khidmat dan bantuan untuk menyempurnakan sesuatu tugasan harian.


“Kerjasama ini merupakan peluang besar kepada golongan fakir asnaf dan fakir supaya berdikari tanpa bantuan zakat.


“Dengan Akla, mereka dapat membantu meraih pendapatan melalui pelbagai perkhidmatan yang disediakan,” ujar Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid.


Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Akla, Zainal ‘Akla Shamsudin memberitahu, kerjasama dengan LZS merupakan satu landasan yang baik dan  membuka peluang kepada semua golongan asnaf yang sihat fizikal dan melebihi usia 17 tahun ke atas, untuk mendaftar sebagai ‘Akla Buddy’ yang memberikan khidmat bantuan kepada pelanggan Akla.


“Latihan dan tunjuk ajar disediakan bagi membolehkan mereka mencari peluang menjana pendapatan yang lebih memberi keuntungan kedua-dua pihak.


“Bagi kumpulan asnaf yang tidak memiliki telefon pintar, pasukan sedia da Akla di daerah mereka boleh menjadi pengantara untuk menyalurkan informasi dan peluang pekerjaan tersebut,” ujarnya.


Menurut Zainal, aplikasi telefon pintar ini bermula selepas melihat kesukaran pemilik perniagaan di Malaysia untuk mendapatkan pekerja ganti atau pekerja sementara dalam menguruskan urusan jual beli harian.


“Akla diilhamkan bagi menangani masalah ini. Objektif aplikasi Akla adalah menawarkan khidmat pembantu kepada mereka yang memerlukan pekerja sementara, dengan bayaran tetap yang akan dikenakan mengikut sesi perkhidmatan yang ditempah.


“Berbeza daripada kebanyakan aplikasi yang telah lebih awal diperkenalkan, Akla lebih berfungsi sebagai khidmat domestik dan bergerak mengikut lokasi yang memerlukan perkhidmatan.


“Jika enjin carian pekerjaan seperti Jobstreet dan LinkedIn lebih fokus kepada pekerja mahir, Akla menginovasikan sistem carian itu kepada aplikasi telefon pintar.


“Tempoh proses tawaran perkhidmatan kepada pengguna yang memerlukan khidmat Akla adalah  singkat iaitu kurang daripada 24 jam.


“Pemilik perniagaan atau individu boleh membuka tawaran pekerjaan dengan hanya memilih kategori perkhidmatan yang diperlukan dan memasukkan maklumat ringkas tugasan sebelum sistem Akla kemudiannya menghantar notifikasi tawaran ini kepada semua Akla Buddy berdaftar dalam lingkungan radius daerah lokasi.


“Sistem Akla memudahkan anda memilih Akla Buddy yang bersesuaian dengan tempahan yang akan disahkan,” ujarnya.


Menurut Akla, sehingga kini lebih kurang 500 orang telah bergelar Akla Buddy.


“Lebih kurang dua minggu kami mula membuka talian ini dan sambutan amat menggalakkan. Ia juga turut menerima maklum balas yang baik daripada pelajar Institusi Pengajian Tinggi yang mahu mencari kerja sambilan.


“Malah Akla juga bakal bekerjasama dengan sebuah universiti awam untuk menjadi aplikasi ini sebagai penghubungkan sumber kewangan secara sambilan mereka.


“Kami masih dalam proses perbincangan, dan dijangka dalam tempoh terdekat ini kerjasama ini akan dimeterai,” ujarnya.


 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]