Mangsa banjir teringat bah kuning

in Edisi by


KOTA BHARU – Mangsa banjir di sekitar kawasan Kampung Hutan Pasir, Ketereh dan Kampung Kulim Melor mula berpindah ke pusat pemindahan banjir sejak semalam selepas air mulai naik dan menenggelamkan kawasan rumah mereka selepas hujan berterusan sejak dua hari lalu.


Tinjauan Sinar Harian di kawasan perkampungan berkenaan mendapati penduduk sudah bersiap sedia untuk berpindah dan tidak lagi menunggu arahan berpindah dari pihak berkuasa.


Seorang penduduk di Taman SL Hutan Pasir,  Siti Noraini Mohd Nor, 38, berkata, dia mula berpindah sejak jam 1 petang tadi selepas melihat keadaan hujan yang berterusan dan air mula memenuhi kawasan luar kediamannya.


“Banjir kali ini tidak lah seteruk seperti sebelum ini iaitu sekitar dua tahun lalu, namun air cepat naik dan memenuhi ruangan kediaman dan saya ambil keputusan berpindah.


“Lagipun saya mempunyai empat anak yang masih kecil berusia antara 10,  7 dan 6 dan yang bongsu berusia empat bulan.  Memang agak trauma bila teringat kejadian bah kuning. Jadi saya ambil keputusan terus berpindah, ” katanya.


Sementara itu, seorang guru Norhayati Hussin, 38 berkata, banjir kali ini walaupun tidak teruk namun paras air sungai naik dengan cepat.

Nurhayati


“Semasa air mula memenuhi kawasan rumah saya tiada di rumah dan apabila pulang saya lihat air memenuhi kawasan luar kediaman.


“Saya terus menyimpan segala dokumen penting dan meletakkannya di tempat tinggi dan biarkan barangan lain. Lagipun nyawa lebih penting dan perlu diselamatkan terlebih dahulu, ” katanya.


Sementara itu, Pengarah Bomba Kelantan, Nazili Mahmood berkata, setakat ini pihaknya turut mengadakan tinjauan di sekitar dua kampung itu dan rata-rata penduduk sudah pun mengambil langkah berpindah sendiri.


“Saya nasihatkan supaya ibu bapa menjaga anak-anak dan pantau mereka pada musim banjir.


“Kita jangka mengikut laporan hujan akan berterusan sehingga 29 November ini dan setakat ini kita jalankan pemantauan dari masa ke semasa, ” katanya.


 




 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]