
AKADEMI MyWIN perlu melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang mempunyai kemahiran dalam bidang perniagaan berorientasikan keperluan masa depan dan perkembangan teknologi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Akademi MyWIN memberi penekanan kepada dua perkara asas iaitu wanita dan inovasi dalam ekosistem inovasi negara.
“Wanita yang menjalani latihan di akademi itu akan dibentuk kemampuan untuk berupaya menyumbang kepada negara dan berjaya di peringkat serantau dan global.
“Satu daripada usaha MyWIN ialah menganjurkan program Peak (Pencapaian, Pemerkasaan, Pemecutan dan Pengetahuan) bertujuan membentuk pemimpin wanita yang akan menjadi tokoh disegani dalam bidang masingmasing,” katanya.
Menurutnya, program Peak telah berjaya merubah tahap pemikiran wanita yang menjalani program itu dan membuka mereka kepada ruang-ruang baharu untuk berjaya.
Setakat ini, seramai 366 wanita yang memperoleh manfaat daripada program Peak.
Katanya, sasaran kumpulan wanita MyWIN ialah kaum profesional yang akan mewujudkan generasi baharu inovator wanita dalam sektor korporat selaras dengan usaha berterusan negara untuk mewujudkan lebih ramai wanita memainkan peranan di peringkat pembuat keputusan dalam sektor itu.
“Kita telah membuat kemajuan ketara dalam perkara itu apabila sejumlah 35.8 peratus jawatan membuat keputusan dalam sektor awam kini dipegang oleh wanita, manakala dalam sektor korporat telah mencapai sasaran 30 peratus.
“Kerajaan kini menekankan agenda ini secara lebih agresif apabila wanita berjaya, kita semua akan berjaya. Kini wanita memegang hanya 16.8 peratus jawatan pengarah dalam 100 syarikat teratas tersenarai di Bursa Malaysia.” katanya.
Penubuhan MyWIN diluluskan oleh Kabinet pada 2014 sebagai institusi yang memacu inovasi transformatif untuk memperkasa wanita dalam daya kepimpinan dan keusahawanan.
Dengan program dan usaha seperti penubuhan Akademi MyWIN, Malaysia akan berada pada landasan betul untuk memperkasa kaum wanita dan meletakkan wanita dan peranan mereka pada kedudukan yang selayaknya.
Source: SH Bisnes
[featured-video-plus]