
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kedua Majlis Produktiviti Negara (MPN) memutuskan supaya National Oversight Productivity Council (NOPC) diserap bagi memantau perlaksanaan di peringkat Nexus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan tersebut bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perlaksanaan Blueprint Produktiviti Malaysia secara keseluruhannya.
“Selain itu, mesyuarat MPN juga bersetuju ke atas pelan tindakan bagi subsektor elektrikal dan elektronik (E&E). Perlaksanaan strategi ini akan diterajui oleh wakil industri terpilih.
“Selain itu, pencapaian produktiviti buruh turut dipantau dan dilaporkan secara suku tahunan.
“Biro Statistik Buruh Malaysia di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia akan menerbitkan data tersebut,” katanya ketika ucapan Majlis penyerahan Surat Perlantikan Ketua Nexus Produktiviti dan Pelancaran Laporan Produktiviti suku tahunan di Parlimen, hari ini.
Nexus Produktiviti merupakan pusat kecemerlangan bagi semua perkara berkaitan dengan peningkatan produktiviti di peringkat sektor dan perusahaan dengan kerjasama rapat kerajaan.
Tambahnya lagi, MPN percaya pencapaian setakat ini adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk mencapai ekonomi yang didorong oleh produktiviti.
“Soal produktiviti adalah sebahagian daripada agenda nasional yang diberi keutamaan tinggi oleh kerajaan dgn kerjasama agensi-agensi lain,”tambahnya.
Sementara itu, Najib turut mengumumkan enam lagi Nexus Produktiviti akan ditubuhkan dalam majlis tersebut.
“Hari ini, enam lagi Nexus Produktiviti akan ditubuhkan iaitu agro-makanan, jentera dan peralatan (M&E), pelancongan, penjagaan kesihatan swasta, perkhidmatan ICT dan perkhidmatan profesional,”katanya lagi.
Mei lalu, tiga Nexus Produktiviti telah ditubuhkan bagi suksektor E&E, kimia dan produk kimia serta peruncitan dan makanan dan minuman (F&B).
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]